Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 06 OKTOBER 2026: Seramai 137 peserta Skim Tanah Rakyat (STR) Kampung Kaung bakal menikmati manfaat ekonomi daripada projek tanaman kelapa sawit yang dijangka mula mengeluarkan hasil pada 2028.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan tanah STR secara berkelompok itu merupakan antara pendekatan Kerajaan Negeri bagi memastikan tanah yang diberikan kepada rakyat dapat dimanfaatkan secara optimum, sekali gus menjadi sumber pendapatan jangka panjang.
Katanya, projek fasa pertama melibatkan kawasan seluas 110.9 hektar dengan penyertaan 137 peserta, manakala pembangunan keseluruhan kawasan STR seluas kira-kira 162 hektar itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Tadi saya pergi ke Kampung Kaung untuk melihat projek STR dan saya fikir projek ini sangat berjaya kerana semua tanah yang diberikan di bawah kapasiti STR telah ditanam dengan sawit.
“Sebelum ini, tanah itu diberikan kepada individu seluas dua ekar setiap seorang, tetapi kita dapati ia tidak dapat dijayakan. Jadi, kita fikir apakah cara terbaik supaya tanah itu dapat disusun kerana kedudukannya jauh dari jalan, berbukit dan dalam kawasan hutan.
“Pihak YH. Dato’ Mohammad Anuar Mohd Yunus selaku Pengarah Qaseh Cemerlang Sdn. Bhd. telah berikhtiar memikirkan bagaimana untuk membangunkan tanah STR tersebut dan ia kini telah dibangunkan. Insya-Allah, pada 2028 akan mula mengeluarkan buah sawit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke projek pembangunan STR di Kampung Kaung, di sini, hari ini.
Hadir sama, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad; barisan pimpinan setempat serta ketua-ketua jabatan.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan secara berkelompok membolehkan kawasan STR berkenaan diusahakan dengan lebih terancang, khususnya mengambil kira keadaan tanah yang berbukit, jauh dari jalan dan berada di kawasan hutan.
“Keluasan keseluruhannya lebih 400 ekar, tetapi yang dibangunkan kira-kira 200 ekar. Ia dibangunkan secara berperingkat. Ya, fasa pertama dan fasa kedua akan menyusul kemudian,” katanya.
Sementara itu, Qaseh Cemerlang Sdn. Bhd. diberi kepercayaan untuk membangunkan tanah STR berkenaan dan mula memasuki tapak pada 2 Mei lalu, sebelum kerja penanaman kelapa sawit dimulakan pada 8 Julai.
Difahamkan, kerja penanaman sawit kini hampir 80 peratus siap dengan kira-kira 1,500 anak pokok lagi sedang dalam proses untuk ditanam dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu. – PAHANGMEDIA

