Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG 12 SEPTEMBER 2023 : Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa Insentif oleh Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM300 kepada mahasiswa dapat membantu menampung kos perbelanjaan pelajar ketika pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Bagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Haikal Nor Hazlan, berkata, beliau sangat teruja dan gembira menerima BPP tersebut kerana dapat membantu menampung sedikit perbelanjaannya sepanjang berada di UiTM nanti.

“Bila dapat panggilan tu rasa seronoklah dengar dapat duit kan, duit pun tak cukup nak bayar yuran, macam baiklah dapat tambah sikit-sikit.
“Saya sangat bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Menteri Besar dan juga Pahang kerana bagi sumbangan ini, sumbangan ni memang 100 peratus untuk saya belajar lah, memang dah sasar yang RM100 ni untuk saya belanja dan RM200 ni untuk tambah yuran,” katanya.

Bagi siswi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pula, Yap Jia Wen, berkata, dia sangat menghargai bantuan yang diterima dan sangat berterima kasih terhadap barisan kepimpinan Kerajaan Pahang khusus YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana telah menyampaikan sendiri BPP Siswa kepada 126 siswa dan siswi DUN Pelangai.
“Saya sangat berterima kasih kerana dapat bantuan ini sebab bantuan ini boleh bantu saya dalam pelajaran saya, jadi sangat berterima kasihlah,” katanya.
Manakala siswi Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Khairunnina Nasywa Wan Roslan, berkata, beliau turut berasa gembira menerima sumbangan BPP Siswa ini yang dapat digunakan untuk menambah duit poket ketika berada di menara gading.
“Rasa gembira dan teruja sebab dapat jumpa MB, dapat jumpa mahasiswa-mahasiswa lain yang turut serta dalam majlis ini. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada MB, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sebab bagi Bantuan Prihatin ini sebab dapat meringankan beban ibu bapa, perbelanjaan universiti, yuran dan sebagainya,” katanya.
Kesemua 126 siswa telah menerima BPP Kluster Siswa yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa Insentif Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul di Bentong. – PAHANGMEDIA

