Oleh : Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Seramai 2,207 usahawan mikro di negeri ini telah menerima manfaat menerusi inisiatif Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (I-PUSH) dengan jumlah RM22.15 juta.
Exco Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Tuan Ir Razali Kassim berkata, pelaksanaan Skim I-PUSH ini melibatkan peruntukan permulaan (fasa pertama dan kedua) berjumlah RM20 juta dan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi tahun 2023.
“Selain daripada itu, pelbagai program telah dirangka oleh kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi persekutuan untuk menyediakan platform bagi usahawan-usahawan bukan saja untuk daerah Jerantut, malah semua daerah turut terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Damak, YB. Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, menerusi hasil semakan oleh Pentadbiran Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), seramai 215 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari daerah Jerantut yang telah berdaftar di bawah Sistem Maklumat Usahawan Pahang (SMU).
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan Karnival Usahawan Negeri Pahang bertujuan memberi padanan perniagaan antara ‘anchor-anchor’ terkemuka bersama para usahawan bagi mengenal pasti produk-produk yang berpotensi untuk dipasarkan ke luar. – PAHANGMEDIA

