Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 SEPTEMBER 2023 : Kerajaan Pahang mencatatkan sebanyak RM836.439 juta sehingga bulan ini dan masih berbaki empat bulan sahaja lagi bagi mencapai sasaran kutipan hasil 2023 sebanyak RM1.083 bilion.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini menjadikan kedudukan kewangan Negeri Pahang semakin kukuh dan memberangsangkan sekaligus beliau optimis untuk mencapai sasaran kutipan hasil yang telah ditetapkan.
“Sehingga semalam saya dimaklumkan oleh YB Pegawai Kewangan Negeri, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM840 juta, dan kita masih ada baki lebih kurang empat bulan sahaja lagi untuk mencapai sasaran kutipan hasil tahun ini iaitu sebanyak RM1.08 bilion.
“Insyaa-Allah saya sangat optimis dan yakin sasaran ini mampu dicapai berdasarkan pelan dan strategi yang kita sedang laksanakan dan contoh paling hampir ialah Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan Karnival Tanah Pahang di seluruh daerah bagi memastikan pemilik tanah melaksanakan tanggungjawab membayar hasil tanah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kutipan hasil ini tidak pernah membebankan rakyat sebaliknya kerajaan meningkatkan kutipan hasil berdasarkan beberapa tindakan termasuklah meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan dan kebocoran serta melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu. – PAHANGMEDIA

