Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Penggiat industri pelancongan, seni, budaya dan warisan di Pahang diseru memanfaatkan Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sokongan Kebudayaan (GSSK) bagi tahun 2027 untuk merancakkan penganjuran program, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Leong Yu Man berkata, kedua-dua geran berkenaan membuka peluang kepada penggiat industri untuk mempergiat penganjuran program, khususnya susulan pelanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia sehingga 2027.
Katanya, GSSP menerusi Tourism Malaysia menyediakan sokongan kewangan kepada syarikat swasta, persatuan, pertubuhan dan penggiat industri yang berkelayakan bagi penganjuran festival pelancongan, karnival, acara rekreasi, pameran serta acara berimpak tinggi yang mampu menarik pelancong domestik dan antarabangsa.
Sementara itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM30 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi GSSK melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyokong penganjuran program seni, budaya dan warisan.
Geran berkenaan terbuka kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), dengan siling pembiayaan maksimum RM300,000 bagi setiap permohonan secara pembiayaan separa.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi sistem e-Insentif di portal rasmi MOTAC sebelum salinan fizikal dihantar kepada urus setia kementerian di Putrajaya dalam tempoh 10 hari, tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.
“Saya menyeru semua penggiat industri pelancongan, persatuan, pertubuhan serta penggiat seni, budaya dan warisan di negeri Pahang agar mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti program berpotensi, merancang pengisian serta menyediakan kertas cadangan mulai sekarang supaya permohonan dapat dikemukakan sebaik sahaja tawaran kedua-dua geran ini dibuka secara rasmi bagi tahun 2027.
“Pemanfaatan geran ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan penganjur, malah mampu merancakkan kalendar pelancongan di setiap daerah, memperkenalkan produk pelancongan setempat serta mengangkat khazanah seni, budaya dan warisan negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya membantu menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pembiayaan berkenaan di kawasan masing-masing serta mengenal pasti persatuan, pertubuhan dan penggiat industri yang berpotensi mengemukakan permohonan.
Cadangan untuk mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan juga dilihat mampu memberikan penerangan lebih menyeluruh mengenai syarat kelayakan, tatacara permohonan dan skop pembiayaan kedua-dua geran berkenaan.
Usaha itu diharap dapat merancakkan penganjuran acara pelancongan dan kebudayaan di seluruh Pahang, sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong serta memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha penginapan, restoran, peniaga kecil, usahawan dan komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

