Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Peruntukan besar yang disediakan Kerajaan Negeri Pahang bagi sektor belia menerusi Belanjawan Pahang 2027 akan dimanfaatkan sebaik mungkin melalui pelaksanaan program dan inisiatif yang menepati keperluan sebenar golongan muda.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail itu amat menggembirakan kerana membuka ruang lebih luas kepada pembangunan belia di negeri ini.
“Sejujurnya saya amat bersyukur dan gembira kerana peruntukan untuk belia dan anak muda yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang dalam belanjawan kali ini cukup besar sekali gus menggembirakan pelbagai segmen belia di luar sana.
“Insya-Allah, peruntukan yang cukup besar untuk belia dan anak muda ini akan dibelanjakan dengan sebaik-baiknya untuk manfaat belia secara keseluruhannya,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, perbincangan bersama Majlis Belia Negeri Pahang, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang serta pihak berkepentingan lain akan diadakan bagi memperincikan pelaksanaan program dan inisiatif belia untuk tahun hadapan.
“Aspek kepimpinan, peluang pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, akses kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan penjagaan kesihatan mental seperti yang dibangkitkan oleh YB Pulau Manis akan menjadi topik utama dalam perbincangan ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyifatkan penglibatan golongan muda dalam kegiatan perjudian dalam talian sebagai amat membimbangkan kerana bukan sahaja menyebabkan masalah kewangan, malah boleh meruntuhkan institusi keluarga serta menjejaskan kesihatan mental.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan judi ‘online’ ini dan telah melaksanakan 83 serbuan di seluruh negeri Pahang bagi tempoh Januari hingga September tahun ini melibatkan tangkapan 91 individu serta rampasan 119 barangan termasuk wang tunai.
“Sebanyak 100 permohonan sekatan laman sesawang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau MCMC berhubung kes-kes ini.
“Selain itu, tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen turut dilaksanakan terhadap 24 premis yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan PDRM, MCMC dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi penguatkuasaan, pemantauan serta tindakan pelesenan bagi membanteras kegiatan perjudian haram secara lebih menyeluruh dan berkesan. -PAHANGMEDIA

