Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig yang menyasarkan 3,000 pekerja gig di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, setiap penerima yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM300 secara sekali bayar (one-off), tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan lebih ramai pekerja gig mendapatkan perlindungan keselamatan sosial.
“Inisiatif ini terbuka kepada pekerja gig yang berdaftar dan mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO atau LINDUNG Kendiri.
“Pelaksanaan bantuan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan lebih ramai pekerja gig mendapatkan perlindungan keselamatan sosial, termasuk mereka yang sebelum ini belum berdaftar atau belum mempunyai perlindungan, dengan memenuhi terlebih dahulu keperluan pendaftaran dan caruman aktif serta syarat kelayakan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM750,000 menerusi Inisiatif Lindung Kasih Makmur bagi membantu 5,000 wanita menampung komitmen caruman tahunan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah. -PAHANGMEDIA

