Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM26.2 juta bagi tahun 2027 untuk memperkukuh pembangunan komuniti FELDA, gerakan koperasi dan sektor keusahawanan, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, peruntukan itu meliputi RM7 juta bagi portfolio FELDA, RM1.2 juta untuk koperasi dan RM18 juta bagi pembangunan usahawan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap pembangunan portfolio ini, yang dizahirkan melalui peningkatan peruntukan dan penyediaan inisiatif baharu bagi tahun 2027.
“Komitmen Kerajaan Negeri ini dapat dilihat melalui peruntukan utama di bawah tiga portfolio saya iaitu FELDA, koperasi dan usahawan, di mana FELDA RM7 juta, Sekretariat Muafakat FELDA yang meningkat daripada RM5 juta kepada RM7 juta; koperasi, RM1.2 juta bagi Pemerkasaan Kariah Koperasi Masjid yang meningkat daripada RM600,000 kepada RM1 juta; peruntukan baharu sebanyak RM200,000 bagi penganjuran Hari Koperasi Negeri Pahang dan Majlis Apresiasi Koperasi Pahang 1st.
“Usahawan sebanyak RM18 juta bagi Program Promosi Usahawan sebanyak RM1 juta; Geran Usahawan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang sebanyak RM5 juta; Expo Usahawan sebanyak RM500,000; Program Pemantapan Usahawan Muda Pahang 1st sebanyak RM5 juta; Program Usahawan Wanita Pahang 1st sebanyak RM3 juta; dan pemberian lesen perniagaan secara percuma kepada penjaja sebanyak RM3.5 juta,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa ketiga-tiga sektor tersebut.
Mengulas mengenai geran hak milik peneroka FELDA di negeri ini, beliau berkata, sebanyak 42,903 daripada keseluruhan 43,126 geran telah diserahkan, manakala baki 223 lagi masih dalam proses penyelesaian melibatkan isu pewarisan dan teknikal.
“Sehingga kini, sebanyak 42,903 geran telah berjaya diserahkan kepada peneroka. Bagi baki 223 peneroka, iaitu sekitar 0.5 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka, pihak kami menyasarkan penyelesaian penuh pada tahun 2026 ini, tertakluk kepada penyelesaian isu-isu pewarisan dan teknikal yang masih dalam pemerhatian.
“Terkini, cadangan penyerahan suratan hak milik sedang dirancang untuk penyerahan baki 97 geran peneroka FELDA Tersang 2 dalam masa terdekat sesudah semua geran ini siap dicetak. Dengan penyerahan ini, bermakna semua peneroka FELDA Pahang telah menerima geran dan berbaki runcit seramai 126 peneroka di seluruh negeri Pahang masih lagi menunggu di atas sebab kes pewarisan dan teknikal termasuk melibatkan kes mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Dalam sektor koperasi pula, beliau berkata, gerakan koperasi di Pahang merekodkan perolehan sebanyak RM1.13 bilion sehingga Disember 2025, meningkat lebih 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian itu melibatkan 1,211 koperasi dengan nilai aset berjumlah RM1.73 bilion serta keanggotaan kira-kira 315,000 orang. -PAHANGMEDIA

