Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM42.63 juta bagi memperkasa sektor pertanian dengan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi moden, peningkatan produktiviti serta pembangunan usahawan tani, khususnya dalam kalangan belia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, antara strategi yang dilaksanakan termasuk memperluas penggunaan sistem fertigasi, Internet of Things (IoT), mekanisasi dan automasi pertanian.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta meningkatkan daya saing industri agromakanan negeri.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM42.63 juta dengan memfokuskan kepada pengurusan dan pembangunan teknologi moden, pemberian insentif program pertanian kepada golongan muda, mempromosikan agroekonomi dengan menganjurkan MAHA Pahang 2026 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Bagi program Agropreneur Muda bermula tahun 2026, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperbaharui inisiatif ini dengan geran berbentuk barangan modal bernilai sehingga RM30,000 bagi kategori Start-Up dan sehingga RM50,000 bagi kategori Scale-Up untuk membiayai penggunaan teknologi moden seperti Controlled Environment Agriculture (CEA) dan Internet of Things (IoT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, YB Tuan Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta menerusi Jabatan Perikanan Negeri Pahang bagi memperkukuh pembangunan sektor perikanan dan akuakultur, selain menyokong pembangunan usahawan serta pengusaha industri berkenaan.
“Melalui Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM2.1 juta manakala bagi Program Agropreneur NextGen pada tahun 2026 telah menerima peruntukan sebanyak RM50,000.
“Bagi penternak ikan air tawar di daerah Lipis menerima sebanyak RM30,000 dan nelayan darat di daerah Jerantut telah menerima sebanyak RM30,000,” katanya. – PAHANGMEDIA

