KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menafikan laporan Arus Malaysia berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan beliau mengenai pembubaran Dewan Negeri Pahang, sambil menegaskan bahawa laporan berkenaan adalah salah dan tidak benar sama sekali.
Beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan media berkenaan, sebaliknya penjelasan sebenar beliau adalah seperti yang direkodkan dalam Hansard Dewan Negeri Pahang.
“BERITA INI SALAH! Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini. Apa yang ditulis oleh Arus Malaysia adalah salah dan tidak benar sama sekali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan petikan Hansard yang dikongsikan beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man telah bertanyakan mengenai pembubaran Dewan Negeri Pahang.
Menjawab pertanyaan berkenaan, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata:
“Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, setakat ini belum ada apa-apa perancangan. Setakat hari ini…”
Susulan itu, beliau menggesa Arus Malaysia supaya segera menurunkan berita berkenaan serta membuat pembetulan terhadap laporan yang telah diterbitkan.
“Saya meminta media Arus Malaysia menurunkan segera berita ini dengan kadar segera dan membuat pembetulan semula pada apa yang dilaporkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

