Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan kira-kira RM10 juta sejak dua hingga tiga tahun lalu bagi membantu mangsa banjir, selain mempergiat persediaan awal dan memperkukuh penyelarasan antara agensi dalam menghadapi bencana yang berlaku hampir setiap tahun itu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejadian banjir sama ada berskala besar, kecil mahupun banjir kilat merupakan antara cabaran tahunan yang memerlukan persediaan rapi, meskipun ramalan cuaca dan perancangan awal telah dibuat.
Menurutnya, walaupun kebanyakan kejadian dapat dijangka, terdapat juga keadaan di luar jangkaan apabila kawasan yang pada awalnya diramalkan berisiko banjir tidak terjejas, sebaliknya kawasan lain pula dilanda bencana.
“Banjir ini boleh kita panggil sebagai ‘yearly event’ kerana setiap tahun berlaku, sama ada besar, kecil ataupun banjir kilat. Boleh dikatakan 99 peratus kita boleh rancang, tetapi kadang-kadang satu peratus yang tinggal itu menentukan segalanya dan ada perkara yang kita tidak dapat elakkan. Sejak dua ke tiga tahun yang lepas, Kerajaan Negeri telah peruntukkan sebanyak RM10 juta untuk kita bantu mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Yang Dilantik, YB Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramli pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persediaan menghadapi banjir dimulakan menerusi penyelarasan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang dengan melibatkan agensi berkaitan bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta merancang tindakan awal.
Katanya, taklimat berhubung persediaan menghadapi banjir turut dipersembahkan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang setiap tahun bagi memastikan perkembangan dan langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana mendapat perhatian.
“Pertama sekali, pengerusi jawatankuasa bencana alam ini, Setiausaha Kerajaan akan memanggil agensi-agensi yang terlibat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan banjir dan membuat persediaan awal. Selain itu, persembahan taklimat kepada Kebawah Duli Paduka Baginda telah kita buat setiap tahun.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah mengenal pasti parit dan longkang tersumbat bagi mengurangkan risiko banjir, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), SPBR dan MARRIS,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut menggunakan khidmat helikopter bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan yang sukar diakses.
“Bagi kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat, kita juga menggunakan khidmat helikopter untuk menyalurkan bantuan menerusi kaedah heli-pack,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan persediaan dan tindakan menghadapi banjir dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, sekali gus membantu mengurangkan kesan bencana terhadap penduduk yang terjejas. -PAHANGMEDIA

