Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Seramai 4,681 usahawan FELDA di Pahang direkodkan aktif dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga September 2026, mewakili 10.85 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka FELDA di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pencapaian itu mencerminkan penglibatan generasi baharu FELDA dalam bidang keusahawanan yang semakin berkembang.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasa golongan berkenaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk akses kepada pembiayaan, latihan, bimbingan serta peluang pemasaran bagi membantu mereka membina perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
“Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta melalui program Usahawan Makmur pada tahun 2026 untuk memperkasakan perniagaan mikro, kecil dan juga sederhana ataupun PMKS dan juga peluang ini dibuka kepada semua rakyat Pahang termasuklah generasi baharu FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, antara inisiatif yang disediakan menerusi Program Usahawan Makmur ialah Geran Usahawan Makmur yang menawarkan bantuan kewangan sehingga RM10,000 bagi setiap usahawan untuk pembelian peralatan, peningkatan kapasiti, kerja menaik taraf premis serta pemasaran produk tempatan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan Program Transformasi Produk dan Latihan SIRIM (STeP) menerusi kerjasama dengan SIRIM bagi membantu usahawan meningkatkan kualiti produk, reka bentuk, pembungkusan, pelabelan dan pensijilan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta di bawah kluster B40 bagi pemberian lesen perniagaan percuma kepada penjaja sedia ada, selain menyediakan sokongan pemasaran dan eksport menerusi penyertaan dalam program promosi di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
“FELDA telah pun menyediakan inisiatif khusus untuk merangkumi pembiayaan Tabung FELDA melalui Tabung Usahawan Belia FELDA iaitu TUBF. Sehingga kini, 55 orang usahawan di Pahang mendapat pinjaman TUBF dengan nilai kelulusan RM1.498 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut merangka Program Usahawan Muda FELDA bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan generasi baharu FELDA, khususnya golongan belia, menerusi pendekatan praktikal dan berfokus.
Program berkenaan, ujarnya, merangkumi latihan berkaitan permulaan perniagaan, pembangunan produk, pengurusan kewangan, pemasaran digital serta akses kepada pasaran dengan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Katanya lagi, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan itu penting bagi membuka peluang untuk meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperbaik mobiliti ekonomi, sekali gus mengurangkan kebergantungan generasi baharu FELDA kepada sumber pendapatan tradisional. -PAHANGMEDIA

