Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Lima memorandum persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM1.313 bilion yang dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal memperkukuh pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, kerjasama berkenaan melibatkan pembangunan industri nanas, pembekalan dan pengedaran durian premium ke pasaran antarabangsa, pembangunan teknologi input pertanian serta pelaksanaan projek agromakanan mampan.
Katanya, lima MoU berkenaan melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri bagi membuka peluang pelaburan serta memperluas rantaian nilai industri agromakanan negeri.
“Dan kelima-lima MoU itu ialah antara Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bersama dengan Pahang yang melibatkan komoditi nanas dan jumlah pelaburan ialah RM54.525 juta.
“MoU yang kedua ialah Pahang Ever Fresh Food Sdn. Bhd. bersama dengan Guangzhou Jiangnan Agriculture Group Co. LTD dan Shanghai Hui Zhan Fruit and Vegetable Market Management Co. LTD berkaitan dengan durian dengan jumlah pelaburannya RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, MoU ketiga melibatkan Benum Hill Fruits Sdn. Bhd. dengan Regal Plus Beijing Co. Ltd. berkaitan komoditi durian bernilai RM150 juta, manakala MoU keempat antara Nafas Agri Services Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Fitech Global Sdn. Bhd. berkaitan baja dengan nilai pelaburan RM100 juta.
“Dan yang kelimanya ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bersama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang iaitu berkaitan dengan Sustainable Agrifood Project yang melibatkan RM8.9 juta,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerjasama berkenaan dijangka turut memberi manfaat kepada pengusaha pertanian tempatan menerusi penglibatan dalam aktiviti pengeluaran, pembekalan hasil serta pembangunan rantaian nilai industri agromakanan.
Katanya, penganjuran MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September lalu turut menjadi platform strategik bagi memperkukuh promosi sektor pertanian, penternakan, perikanan, industri asas tani dan agropelancongan negeri.
Pavilion Pahang yang menjadi pusat promosi produk dan hasil tani tempatan berjaya menarik kehadiran 200,447 pengunjung dengan penyertaan 37 usahawan serta mencatatkan nilai jualan sebanyak RM625,427.
Nilai jualan berkenaan meningkat berbanding RM527,151 yang direkodkan pada MAHA 2024, meskipun jumlah pengunjung ketika itu lebih tinggi iaitu seramai 225,010 orang. – PAHANGMEDIA

