Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 25 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan kira-kira RM4.495 juta bantuan kepada 6,290 penerima menerusi Tabung Malapetaka Daerah (TMD) sepanjang tempoh 2022 hingga Oktober 2026.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap daerah di negeri ini menerima peruntukan secara apungan sebanyak RM50,000 setahun bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa bencana tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan baharu.
“Tabung bantuan bencana daerah di Negeri Pahang dikenali sebagai Tabung Malapetaka Daerah (TMD). TMD merupakan salah satu komponen di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP).
“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan secara apungan sebanyak RM50,000 setiap tahun kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan TMD di 11 daerah di Negeri Pahang. Peruntukan ini bertujuan memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat kejadian bencana selain banjir, tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan baharu bagi setiap kejadian.
“Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Malaysia Negeri (JKM) Negeri Pahang, bagi tempoh tahun 2022 hingga Oktober 2026, sebanyak 6,290 kes penerima Bantuan TMD telah direkodkan, melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,495,159.86,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, sepanjang tempoh sama, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta bagi tabung berkenaan yang meliputi empat kategori utama bantuan iaitu ribut, kebakaran, kematian dan lain-lain bencana termasuk tanah runtuh serta kejadian lemas.
“Bantuannya melibatkan empat kategori iaitu ribut, kebakaran, kematian dan lain-lain. Macam seperti tanah runtuh mungkin juga yang ada rumah dia dihempap pokok dan lemas pun JKM akan bagi bantuan.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan lebih daripada peruntukan ini, Jawatankuasa Pengurusan Tabung Malapetaka Daerah boleh mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada Kerajaan Negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

