KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan sebuah rumah baharu dan bantuan baik pulih rumah kepada tiga keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Taman Impian, di sini, sebagai tanda keprihatinan Paduka Baginda terhadap kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.
Majlis berkenaan turut dihadiri Panglima Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, YH Laksamana Muda Dato’ Azman Rabani dan Setiausaha Sulit Khas kepada KDPB Sultan Pahang, Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Abdul Murad.

TLDM bertindak sebagai pelaksana projek pembinaan dan baik pulih rumah berkenaan yang melibatkan kos keseluruhan RM200,000. Projek itu berjaya disiapkan dalam tempoh empat minggu.
Tiga penerima kurniaan tersebut ialah Encik Ngoh Tee Sang yang menerima sebuah rumah baharu susulan kediamannya musnah sepenuhnya dalam kebakaran, manakala rumah sewa yang didiami Encik Punitavalli a/p Thyagaraji dan Encik Muhammad Shahrul Azri Awang masing-masing telah siap dibaik pulih.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 21 Februari lalu, sebuah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan pada sebahagian struktur akibat kebakaran berkenaan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun ketiga-tiga keluarga terbabit terpaksa berpindah ke kediaman ahli keluarga masing-masing buat sementara waktu.
Kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Paduka Baginda dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berdepan kesukaran akibat bencana.
Pelaksanaan projek ini turut memperlihatkan kerjasama antara Majlis Kesultanan Pahang dengan TLDM dalam menjayakan inisiatif kebajikan bagi meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah.-PAHANGMEDIA

