Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 13 OKTOBER 2026 : Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia (KPSM) Kali Ke-26 menjadi platform penting dalam memperluas perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan warga perpustakaan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan terus relevan dengan keperluan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, konvensyen berkenaan bukan sekadar menghimpunkan warga perpustakaan dari seluruh negara, malah membuka ruang untuk bertukar pandangan serta merancang hala tuju masa depan sektor berkenaan.
“Konvensyen seperti ini amat penting kerana ia bukan sekadar menjadi medan pertemuan warga perpustakaan dari seluruh negeri, tetapi turut menjadi ruang untuk kita berkongsi ilmu, pengalaman, idea dan amalan terbaik dalam memperkukuhkan lagi perkhidmatan perpustakaan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia Kali Ke-26 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, usaha memperkukuh perkhidmatan perpustakaan memerlukan kesatuan matlamat dalam kalangan warga perpustakaan meskipun berkhidmat di negeri dan persekitaran berbeza.
“Sesungguhnya kita mungkin dalam keadaan negeri yang berbeza, tetapi kita membawa satu misi yang sama, iaitu memastikan ilmu terus dekat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran konvensyen selama lima hari di Pahang sebagai wadah yang bukan sahaja memperluas perkongsian pengetahuan, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta.

“Konvensyen ini bukan sekadar menghimpunkan warga perpustakaan dari seluruh Malaysia, tetapi turut menjadi wadah untuk kita berfikir, berkongsi, merapatkan ukhuwah dan menyusun langkah bagi masa depan dunia perpustakaan yang lebih dinamik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) atas kejayaan mengendalikan konvensyen berkenaan serta berharap Pahang terus menjadi destinasi pilihan warga perpustakaan untuk kunjungan pada masa akan datang.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan, terutama PPAP, kerana telah berjaya melaksanakan tanggungjawab ini. Saya juga berharap kunjungan ke negeri Pahang yang makmur ini bukanlah yang terakhir,” katanya.
Konvensyen yang berlangsung sejak 9 Oktober lalu itu melibatkan seramai 857 peserta daripada 17 kontinjen yang hadir dari seluruh Malaysia. -PAHANGMEDIA

