Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 12 OKTOBER 2026 : Program Karya Anak Pahang menjadi platform bagi rakyat negeri ini mengetengahkan kreativiti dan bakat dalam bidang fotografi, videografi serta penulisan, sekali gus mempromosikan keunikan dan keharmonian negeri kepada masyarakat.
Program ini mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk jurugambar profesional, golongan muda dan penggiat kreatif yang melihat inisiatif berkenaan sebagai peluang untuk berkarya serta berkongsi hasil kreativiti mereka.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa Kuantan, Yeo Chia Teck, 18, kemenangan ini membawa makna tersendiri apabila berjaya terpilih sebagai pemenang dalam percubaan kali pertama menerusi minatnya dalam bidang fotografi.

Dia berkata, program ini juga dilihat menjadi platform kepada golongan muda untuk mempromosikan keindahan dan keunikan tempat-tempat menarik di Pahang melalui hasil karya mereka.
“Saya sangat gembira kerana berjaya memenangi pertandingan ini. Saya memang meminati fotografi dan program ini memberi peluang untuk saya berkongsi gambar-gambar menarik yang diambil di Pahang.
“Saya berharap lebih ramai rakan akan menyertai program ini dan saya akan berkongsi maklumat mengenainya supaya lebih ramai dapat mengambil peluang yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Encik Wang Siew Fook, 53, yang merupakan jurugambar China Press, menyifatkan kejayaannya dalam pertandingan itu sebagai satu kebanggaan kerana terpilih antara peserta yang berjaya.

Dia yang mengetahui mengenai pertandingan ini menerusi media sosial selepas menerima perkongsian daripada rakan-rakan berkata, dia mempertaruhkan foto bertemakan sambutan Hari Kemerdekaan yang membawa mesej kemesraan dan keharmonian, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Saya berasa gembira dan amat bangga kerana menjadi antara peserta yang terpilih memenangi pertandingan ini.
“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail atas penganjuran program seperti ini. Saya berharap lebih ramai rakan akan turut serta pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Puan NurAqilah Amran, 28, dari Kuantan berkata, Karya Anak Pahang menyediakan ruang untuk dirinya mengembangkan minat dan berkongsi hasil kreativiti menerusi pelbagai medium.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif yang menyediakan platform untuk saya berkarya, sama ada melalui video, fotografi, penulisan dan sebagainya.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail kerana menyediakan peluang seperti ini kepada rakyat untuk mengetengahkan bakat masing-masing,” katanya. -PAHANGMEDIA

