Oleh : Norhafizan Zulkifli
BERA, 09 OKTOBER 2026 : Seramai 504 petugas kesihatan di daerah ini menerima Baucer Apresiasi Pahang 1st sebagai penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Daripada jumlah itu, seramai 301 penerima merupakan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Bera, manakala 203 lagi adalah kakitangan Hospital Bera.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, jumlah penerima di Bera itu merupakan sebahagian daripada 11,870 petugas kesihatan di seluruh Pahang yang menerima baucer berkenaan.

“Baucer Apresiasi Pahang 1st ini adalah penghargaan kecil berbanding jasa besar yang telah dicurahkan. Teruskan usaha murni ini demi kesihatan rakyat dan negeri Pahang yang kita cintai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyampaian Baucer Apresiasi Pahang 1st kepada Petugas Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Peringkat Parlimen Bera di Zara Glam Hall, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Daerah Bera, Dr. Safaridah Anuar, Pengarah Hospital Bera, Dr. Abdul Aziz Harith serta barisan petugas kesihatan daerah ini.
Menurut YB. Dato’ Hajah Sabariah, petugas kesihatan perlu terus memupuk semangat kerja berpasukan, profesionalisme dan nilai kemanusiaan bagi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

“Marilah kita sama-sama terus memupuk semangat kerja berpasukan, profesionalisme dan nilai kemanusiaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada masyarakat,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan sokongan kepada petugas kesihatan bagi membantu melancarkan urusan serta menangani keperluan berkaitan perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Dan saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak daripada pejabat kesihatan sendiri, hospital sendiri, yang terlalu banyak memberikan kerjasama kepada saya sebagai pemimpin di sini.
“Bagi pihak saya sendiri, insyaAllah saya sebagai wakil daripada kerajaan akan sentiasa memberikan kerjasama ya sekiranya ada apa-apa perlu saya bantu jangan segan-segan untuk hadir ke pejabat saya,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

