Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 09 OKTOBER 2026 : Peluang mengenali dunia dan membina jaringan antarabangsa bukan lagi hak eksklusif anak bandar apabila 57 belia Malaysia dan belia diaspora Rusia di Malaysia menyertai program diplomasi belia antarabangsa, Paya Besar Global Pulse 2026.
Berlangsung dari 5 hingga 7 Oktober lalu di Kuala Lumpur dan Putrajaya, program cetusan Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah itu memberi peluang kepada peserta berusia 15 hingga 19 tahun, khususnya belia luar bandar dari Paya Besar, untuk mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai diplomasi, pentadbiran kerajaan, pendidikan dan sektor korporat.
Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah dalam ucapan penutupnya berkata, hubungan sesama manusia di peringkat akar umbi merupakan elemen penting dalam diplomasi ekonomi yang melangkaui hubungan rasmi antara negara.
“Dalam perancangan ekonomi, kita sering bercakap tentang pelaburan langsung asing dan perjanjian perdagangan. Namun perekat sebenar diplomasi ekonomi ialah hubungan sesama manusia di peringkat akar umbi, yang terjalin jauh sebelum sebarang perjanjian rasmi ditandatangani,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda perlu mempunyai keupayaan berfikir secara kritis, memahami perkembangan ekonomi global dan menilai sesuatu isu berdasarkan data bagi mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan.

“Persoalkan trend, cari data, kaji perkembangan global dan fahami mengapa sesuatu berlaku dalam ekonomi dunia.
“Negara berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi dibina oleh rakyat muda yang berfikir secara kritis dan bertindak dengan tujuan,” katanya.
Menurut beliau, Russia Track sebagai siri sulung Paya Besar Global Pulse merupakan bukti bahawa latar belakang geografi bukan penghalang kepada belia untuk membina perspektif global dan meneroka peluang di peringkat antarabangsa.
“Paya Besar Global Pulse bukan sekadar inisiatif setempat, tetapi satu bukti konsep.
“Kita membuktikan bahawa anda tidak perlu datang dari bandar raya besar untuk memiliki minda global,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencabar peserta supaya meneruskan persahabatan yang terjalin sepanjang program, selain berkongsi pengalaman dan peluang yang diperoleh dengan rakan-rakan di sekolah serta kampung masing-masing.
Paya Besar Global Pulse mencerminkan pendekatan diplomasi rakyat (people-to-people diplomacy) yang meletakkan generasi muda sebagai jambatan hubungan antara masyarakat dan budaya, sekali gus membuka ruang kepada mereka memahami dunia menerusi pengalaman sebenar.
Program itu akan diteruskan dengan dua lagi siri pada tahun ini bagi memperluas peluang pendedahan antarabangsa kepada lebih ramai belia, selain membina jaringan generasi muda Paya Besar yang berpengetahuan, berkeyakinan dan bersedia melangkah ke pentas global. -PAHANGMEDIA

