Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi memperkasa pembelajaran Al-Quran Braille menerusi penubuhan Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille di lapan lokasi seluruh negeri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, inisiatif cetusan idea YAB. Menteri Besar Pahang ini merangkumi pelaksanaan kursus, penyediaan kemudahan pembelajaran serta pembelian 60 unit eBrelle bernilai RM10,000 setiap satu.

“Hari ini kita telah mengadakan Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille untuk Negeri Pahang di mana kita mengadakan pelancaran ini di Masjid Tepian Putra bersama dengan UNIQSAAS (Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang).
“Di mana Al-Quran Braille ini adalah idea daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang di mana Kerajaan Negeri sendiri mengeluarkan belanja sebanyak RM1.2 juta bagi kita mengadakan kursus dan sebagainya termasuklah kita membeli eBrelle ini yang berharga RM10,000 untuk satu.

“Dan Kerajaan Negeri telah membeli sebanyak 60 buah Al-Quran eBrelle ini yang kita tempatkan di lapan pusat di seluruh negeri Pahang ini, termasuklah di masjid ini sendiri, di Lipis, di UNIQSAAS sendiri, di Jerantut, di Bera ada, di Temerloh, dengan kerjasama persatuan-persatuan ataupun NGO,” katanya.
Beliau berkata pusat pembelajaran ini juga memberi manfaat kepada hampir 1,000 pelajar yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dan juga individu yang berminat untuk mempelajari Al-Quran Braille.

“Setakat ini, kita mempunyai kira-kira 28 tenaga pengajar, manakala pelajar yang terlibat terdiri daripada mereka yang mengikuti pembelajaran di sekolah-sekolah khas serta pusat yang disediakan.
“Setiap pusat dianggarkan dapat memberi manfaat kepada lebih 100 orang, sekali gus berpotensi menjangkau lebih 800 peserta di seluruh negeri,” katanya.

Mengulas berkenaan sasaran pencapaian program berkenaan, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menilai keberkesanan pelaksanaannya berikutan pusat pembelajaran ini baharu sahaja dilancarkan.
“Insya-Allah, kita akan melihat perkembangan terlebih dahulu dan menilai jumlah peserta yang dapat menguasai pembelajaran ini sebelum menetapkan sasaran yang lebih jelas.

“Pihak Kerajaan Negeri akan meluaskan lagilah Al-Quran ini di seluruh Negeri Pahang, tingkatkan lagi dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan (Negeri Pahang), MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang), JAIP (Jabatan Agama Islam Pahang) dan PERTIS (Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia) sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang di Masjid Tepian Putra hari ini. -PAHANGMEDIA

