KUANTAN, 04 OKTOBER 2026 : Persatuan Kontraktor Bumiputera Negeri Pahang (Perkobf Pahang) menggesa Berjaya Hills Resort Berhad supaya menghormati undang-undang dan tidak memutarbelitkan fakta berhubung tindakan penguatkuasaan serta pelucuthakan tanah miliknya di Pahang.
Yang Dipertua Perkobf Pahang, Norhamila Mohd Datar, berkata isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan fakta dan proses perundangan yang berlaku, bukannya semata-mata daripada sudut pandang pihak syarikat.
Menurut beliau, tunggakan cukai tanah berjumlah RM70.48 juta melibatkan 122 hak milik, dengan tunggakan berlaku sejak 2020.
“Tindakan penguatkuasaan pula bukan dibuat secara tiba-tiba atau sewenang-wenangnya, sebaliknya selepas proses dan notis berkaitan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.
“Justeru, jika tunggakan cukai tanah mencecah puluhan juta ringgit dan tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan undang-undang, atas asas apakah tindakan tersebut boleh dilabel sebagai ‘tidak munasabah’?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Norhamila berkata, pihak syarikat sepatutnya memberikan penjelasan berhubung tunggakan berkenaan dan tidak menjadikan tindakan penguatkuasaan kerajaan negeri sebagai isu utama.
Beliau berkata, rakyat biasa yang mempunyai kemampuan kewangan jauh lebih terhad tetap berusaha memastikan cukai tanah mereka dibayar mengikut ketetapan.
“Adalah tidak wajar sekiranya pemilik tanah kecil dan sederhana bersusah payah menunaikan kewajipan mereka, sedangkan pemilik tanah dengan kepentingan yang besar mempunyai tunggakan sehingga RM70.48 juta, kemudian mempertikaikan tindakan kerajaan apabila penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Norhamila berkata Perkobf Pahang menghormati hak Berjaya untuk meneruskan proses perundangan sekiranya merasakan terdapat perkara yang perlu dicabar.
Bagaimanapun katanya, hak untuk merayu tidak bermakna kewajipan mematuhi undang-undang boleh diketepikan.
“Ini bukan soal kerajaan negeri menentang Berjaya. Ini soal kewajipan pemilik tanah membayar cukai yang ditetapkan dan tanggungjawab kerajaan negeri memastikan undang-undang serta hasil negeri dipelihara.
“Jika rakyat biasa dituntut mematuhi undang-undang, syarikat besar juga wajib melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau menegaskan prinsip keadilan tidak seharusnya berbeza berdasarkan saiz syarikat, nilai tanah atau kedudukan pemilik.
“Hak Pahang adalah hak Pahang. Jangan putar belit fakta. Hormati undang-undang dan tunaikan kewajipan kepada negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

