Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 OKTOBER 2026 : Kestabilan politik menjadi antara faktor penting dalam memastikan kelangsungan pembangunan serta keyakinan pelabur di sesebuah negeri dan negara.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kestabilan politik yang dinikmati Pahang ketika ini membolehkan kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada rakyat.
Menurut beliau, kestabilan tersebut turut membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan dengan lebih yakin dalam memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Pokok pangkalnya, sama ada negeri atau negara, kita kena ada kestabilan politik.
“Pahang setakat hari ini mempunyai kestabilan politik. Walaupun kita kerajaan perpaduan dan ada dua (parti) yang mentadbir, tetapi kita dominan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Perhimpunan Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Ke-23/2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, kestabilan politik bukan sahaja penting dalam memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar, malah memberi keyakinan kepada pihak pelabur untuk meneruskan aktiviti pelaburan dan ekonomi.

“Bila kita kalah (pada 2018), Pahang tidak kalah tetapi di peringkat Persekutuan kita kalah. Banyak perkara berlaku termasuk projek yang sebelum ini diluluskan dibatalkan dan ada pelabur yang beralih ke tempat lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap MUBARAK dapat memainkan peranan dalam membantu memastikan kestabilan politik negara pada masa akan datang, berdasarkan pengalaman luas bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Saya fikir inilah peluang yang terbaik untuk kita kembali kepada persada Putrajaya untuk memastikan kestabilan politik negara kita untuk yang akan datang.

“Saya berharap sangat supaya MUBARAK tolonglah sungguh-sungguh memastikan calon Barisan Nasional dapat kembali mentadbir negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut dapat memberikan pertimbangan lebih baik terhadap permohonan bantuan apabila keadaan politik dan pentadbiran negeri berada dalam keadaan stabil.
“Kalau sumbangan yang diminta RM100,000, kami boleh luluskan RM200,000. Sebab apa? Sebab negeri Pahang setakat hari ini kita mempunyai kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata kestabilan yang dinikmati itu perlu dipertahankan supaya kerajaan dapat terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat. -PAHANGMEDIA

