BERA, 26 SEPTEMBER 2026 : Wanita Pahang terus membuktikan keupayaan sebagai antara penggerak penting ekonomi keluarga, masyarakat dan negeri menerusi penglibatan aktif dalam bidang keusahawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata ramai usahawan wanita bermula secara kecil-kecilan dari rumah sebelum mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, dengan berbekalkan usaha, disiplin, keberanian dan kesungguhan, langkah kecil tersebut mampu berkembang menjadi perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Usahawan Wanita Pahang yang berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, di sini.
Menurut beliau, festival berkenaan bukan sekadar menjadi ruang untuk usahawan wanita memasarkan produk, malah menyediakan platform untuk mereka bertemu, berkongsi pengalaman, menambah ilmu serta membina jaringan perniagaan.
“Festival ini bukan sekadar ruang untuk berniaga dan mempromosikan produk, malah menjadi platform untuk usahawan bertemu, berkongsi pengalaman, menambah ilmu, membina jaringan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.

Beliau turut berharap ilmu, pengalaman dan jaringan yang diperoleh menerusi festival berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada usahawan wanita Pahang untuk terus berkembang dan membina perniagaan yang lebih besar.
“Terus maju, terus berani dan terus cipta peluang. Wanita Pahang, kita boleh!” katanya.
Festival Usahawan Wanita Pahang menghimpunkan usahawan wanita sebagai platform memperkukuh jaringan, memperluas pasaran serta meningkatkan peluang pertumbuhan perniagaan dalam kalangan wanita di negeri ini. – PAHANGMEDIA

