PEKAN, 27 SEPTEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa syukur kerana perancangan penganjuran Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang berjaya direalisasikan.
Paduka Baginda bertitah, kejohanan itu menjadi kemuncak kepada perancangan yang telah dibuat sejak puluhan tahun lalu, malah lebih bermakna apabila Paduka Baginda berpeluang beraksi bersama anakanda-anakanda sempena sambutan satu abad kelab berkenaan.
“Alhamdulillah, kita dapat lunaskan perancangan kita. Bertahun-tahun kita merancang, sejak tahun 70-an, kemudian tahun 80-an dan sekarang 100 tahun.
“Saya sangat bersyukur kerana sempat sampai ke tahun ini dan dapat bermain dengan anak-anak saya.”
Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 di Royal Pahang Polo Club, di sini, semalam.

Dalam perlawanan akhir, Royal Pahang dan Jogo Polo berkongsi kejuaraan selepas terikat seri 7-7, manakala Royal Pahang II dan Sri Bendahara berkongsi tempat ketiga dan keempat.
Mengulas perjalanan kejohanan, Paduka Baginda bertitah keadaan cuaca tidak menentu akibat jerebu dan hujan berterusan menyebabkan beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan.
Namun, Paduka Baginda bersyukur kerana keseluruhan kejohanan berlangsung dengan selamat tanpa kecederaan serius membabitkan pemain mahupun kuda.

Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada peminat sukan polo dan rakyat Pahang atas sokongan berterusan terhadap Kelab Polo Diraja Pahang.
Mengenai hasrat untuk bersara daripada pertandingan polo selepas sambutan ulang tahun ke-100 kelab berkenaan, Paduka Baginda bertitah perancangan itu masih kekal walaupun anakanda-anakanda sedang memujuk Baginda untuk terus bermain.
“Saya memang bercadang nak bersara. Tapi tak tahulah, anak saya tengah memujuk saya. Saya kira sudah bersara dan tidak akan menyertai pertandingan lagi.
“Cuma bagi sokongan dan menunggang sedikit, sesekali bermain polo sekejap-sekejap, tetapi tidak menyertai pertandingan,” akhiri Paduka Baginda.- PAHANGMEDIA
Sumber– KESULTANAN PAHANG

