Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2026: Produk makanan berteknologi retort dan sejuk beku keluaran usahawan Pahang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran antarabangsa susulan maklum balas positif yang diterima pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin, produk berasaskan ikan patin antara yang dilihat mempunyai tarikan tersendiri dan berpotensi diketengahkan sebagai produk makanan yang membawa identiti Pahang.

“Antara yang saya perhati di MIHAS kali ini adalah industri retort dan sejuk beku. Kalau kita lihat produk ikan patin mempunyai tarikan yang tersendiri dan mengikut maklum balas yang diterima memang ramai yang berminat.
“Ikan patin merupakan masakan Pahang. Jadi, sekiranya kita dapat gabungkan dan bimbing mereka ini dengan cara yang lebih teratur dan lebih profesional dengan bimbingan daripada pelbagai agensi dan pihak-pihak yang lebih pakar, saya yakin mereka ini mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Pavilion Pahang sempena MIHAS 2026 di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), hari ini.
Tambahnya, usaha memperkukuh industri berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan Pahang untuk meneroka pasaran negara-negara Islam yang mempunyai permintaan luas terhadap produk halal.
“Kita juga ingin meneroka pasaran negara-negara Islam kerana kita melihat industri halal mempunyai pasaran yang begitu luas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa usahawan yang dikenal pasti berpotensi menembusi pasaran antarabangsa akan diberikan bimbingan bagi meningkatkan daya saing serta daya tarikan produk masing-masing.
“Kita telah mengenal pasti beberapa usahawan yang kita rasa mampu untuk pergi ke peringkat antarabangsa dan kita juga sedang menyediakan barisan pelapis.
“Jadi mereka ini akan kita bimbing agar produk mereka lebih berdaya saing, lebih menarik dan mampu menarik minat pelanggan-pelanggan di luar negara,” katanya.- PAHANGMEDIA

