Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 26 SEPTEMBER 2026 : “Saya bersyukur kerana masih ramai yang mengingati ayahanda walaupun sudah empat tahun tidak bertemu,” kongsi YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Beliau yang merupakan anak sulung kepada YH. Dato’ Sri Mohamad Najib Tun Haji Abdul Razak turut melahirkan rasa syukur diatas setiap sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Solidariti Najib.
“Bagi pihak keluarga, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT. Mereka menyumbang ni secara sukarela bukan paksaan. Saya bersyukur sebab ramai yang masih ingat kepada ayahanda walau dah 4 tahun tak bertemu.
“Jumlah ini bukan satu yang kecil dan untuk melunaskan jumlah tersebut perlu kutipan pada jangka masa agak lama. Sama ada ayahanda dapat tanggung ataupun tidak, bergantung kepada jumlah kutipan, perlu lunaskan jumlah yang ditetapkan sebelum dia boleh dapat perintah tahanan rumah itu, dan itu yang sedang diusahakan.
“Kalau aset tidak dibekukan mungkin boleh membantu sedikit sebanyak untuk dapatkan jumlah tersebut, tapi hakikatnya banyak lagi yang perlu diusahakan sebelum kita dapat jumlah ini,” katanya pada sidang media khas UMNO Bahagian Pekan di Inderapura Lake Resort semalam.
Beliau berkata penderma bagi tabung berkenaan juga terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang disifatkan sebagai menghargai jasa ayahanda beliau ketika pentadbiran Dato’ Sri Mohamad Najib dahulu.
“Dan yang menyumbang bukan tertumpu pada satu kelompok, malah yang menyumbang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan
segmen masyarakat.
“Dan ini membuktikan bahawasanya adalah sedikit sebanyak jasa ayahanda saya dulu kepada mereka. Mungkin ramai yang tak setuju, ramai yang kata macam-macam tentang dia, macam-macam nama, tapi bagi saya jasa tu tetap ada.
“Kalau ikut logik fikiran, mana mungkin mereka nak menyumbang ke tabung ini kalau tak ada jasa, kalau mereka tak nampak pembaharuan ataupun kesenangan, sedikit sebanyak, tak kata semua, ketika ayah saya ada di dalam pentadbiran. Barangkali sebab tu ada yang tergerak hati untuk menyumbang yang sememangnya sukarela tak ada paksaan,” katanya.
Mengulas berkenaan tomahan sesetengah pihak terhadap usaha yang dijalankan bagi kutipan tabung ini, beliau berkata perkara ini adalah biasa dalam dunia politik.
“Dalam hal ini, biasalah politik tak dapat puaskan hati semua orang. Memang ada yang tak suka, tapi apa pun kita perlu bersyukur apa jua keadaan, rupanya ramai juga rakyat Malaysia yang masih sayangi ayahanda, yang tergerak hati untuk membantu,” katanya.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 pada 18 September lepas telah bersetuju memberikan pengampunan bersyarat kepada Dato’ Sri Mohamad Najib dengan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu bagaimanapun menetapkan keputusan berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.
Berikutan itu, UMNO telah melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi mengutip sumbangan bagi membantu Dato’ Sri Mohamad Najib membayar denda berkenaan. -PAHANGMEDIA

