Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 25 SEPTEMBER 2026 : Pahang mahu memperkemas semula pembangunan bakat sukan di peringkat sekolah bagi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, langkah itu penting susulan prestasi Pahang yang masih perlu dipertingkatkan dalam beberapa acara pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-66.
“Pahang perlu perbaiki prestasi. Kita misalnya agak jauh ketinggalan dengan Sabah. Jadi, mungkin tadi saya bincang dengan pihak Kementerian. Mungkin saya akan ke Kementerian Pendidikan untuk nak susun balik pembangunan bakat-bakat murid dan pelajar sekolah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir sebagai wakil Menteri Besar Pahang ke Majlis Makan Malam Kejohanan Olahraga MSSM Kali Ke-66 Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini malam tadi.

Menurut beliau, Pahang juga boleh meneliti pendekatan yang dilaksanakan Sabah yang ketika ini mendahului pungutan pingat emas sebagai rujukan dalam memperkukuh pembangunan atlet muda di negeri ini.
“Mereka mengungguli carta sekarang dengan 22 pingat emas. Jauh dengan pasukan-pasukan yang lain. Jadi, sudah pasti ada inisiatif atau pendekatan yang bagus yang dilakukan di Sabah itu sendiri yang Pahang mungkin boleh belajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya Fakulti Sukan UiTM Shah Alam, turut diperkukuh bagi meneliti pembangunan bakat murid bukan sahaja di peringkat MSSM, malah sebagai persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA).
“Kita dah memang ada satu kerjasama strategik dengan pihak UiTM khususnya Fakulti Sukan UiTM Shah Alam untuk kita tengok secara lebih dalam isu pembangunan bakat murid ini. Bukan sahaja di peringkat MSSM, tapi juga di peringkat SUKMA itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Pahang bersedia mendapatkan pandangan dan kepakaran Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti pendekatan lebih berkesan untuk meningkatkan prestasi sukan berprestasi tinggi bermula di peringkat sekolah.
Beliau turut menggalakkan penglibatan rakan strategik termasuk pihak swasta dalam penganjuran kejohanan sukan di peringkat daerah, khususnya di kawasan pedalaman yang mempunyai potensi bakat tetapi kurang mendapat pendedahan.
“Mungkin daerah-daerah pedalaman lah misalnya. Bakat banyak tapi tak keluar. Mungkin ini penarik yang boleh kita gembleng untuk tingkatkan mutu dan kualiti sukan berprestasi tinggi di Pahang,” katanya.
Beliau berkata, MSSM bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform penting untuk mencungkil dan menggilap bakat muda sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk SUKMA dan kejohanan antarabangsa.
Pahang menjadi tuan rumah MSSM Kali Ke-66 selepas 14 tahun, dengan kejohanan itu menghimpunkan 1,075 atlet dan kira-kira 500 pegawai dari seluruh negara, sekali gus menjadi platform penting mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. -PAHANGMEDIA

