Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 24 SEPTEMBER 2026 : Pendekatan turun padang Kerajaan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Makmur Rakyat (PSRM) Daerah Cameron Highlands memberi kegembiraan dan kelegaan kepada pesakit kronik serta keluarga yang selama ini berdepan cabaran menjaga insan tersayang.
Kunjungan pimpinan negeri ke kediaman penerima bukan sahaja membolehkan bantuan disampaikan secara terus, malah memberi ruang kepada golongan berkenaan merasai sendiri keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keadaan dan keperluan mereka.
Kunjungan berkenaan diketuai YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan disertai Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH. Tuan Kamarul Iskandar Nordin; Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Bagi Encik Muhamad Danial Hakim Mohd Azmi, 25, perhatian dan bantuan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang selama ini sedikit sebanyak memberi sokongan kepada keluarganya dalam menguruskan keperluan bapanya, Encik Mohd Azmi Ramli, 55, yang terlantar akibat serangan strok sejak 2017.

Menurutnya, kunjungan pemimpin negeri ke kediaman mereka secara langsung membuktikan keadaan rakyat yang memerlukan tidak dilupakan dan sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya gembiralah…datang melawat ayah kan. Lepas itu ada bantuan sikit daripada pihak Kerajaan Negeri,” katanya.
Mengulas pendekatan berkenaan, Encik Muhamad Danial menyifatkan program turun padang seperti itu wajar diteruskan kerana membolehkan pemimpin mengetahui sendiri keadaan rakyat yang berdepan masalah kesihatan.
“Bagi saya baguslah macam ini. Sebab yalah… kadang ada yang sakit macam ini ada yang tak tahu. Bila buat lawatan macam ini, bolehlah tahu keadaan keluarga itu macam mana,” ujarnya sambil menyifatkan keluarganya bertuah kerana terpilih menerima kunjungan berkenaan.

Sementara itu, Cik Selveserepu a/p Alagappilai, 57, yang hidup bersendirian dan perlu menjalani rawatan dialisis akibat penyakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu, turut meluahkan rasa terharu menerima kunjungan pimpinan negeri di kediaman peninggalan mendiang bapanya.
“Saya banyak ‘happy’, banyak syukur. Kira bagus jugalah dan ‘happy’, bagus jugalah mereka buat macam ini kan,” katanya.
Cik Selveserepu yang sebelum ini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diterima.
“Terima kasih banyak-banyak sumbangan untuk saya,” katanya. -PAHANGMEDIA

