KUANTAN, 24 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh pembangunan industri kerbau tenusu menerusi usaha mendapatkan baka berkualiti tinggi, teknologi moden serta kepakaran dalam pengurusan penternakan dari Itali.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan industri berkenaan tidak hanya tertumpu kepada pertambahan jumlah ternakan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap aspek kualiti baka, genetik, teknologi dan pengurusan moden bagi meningkatkan produktiviti.
Beliau berkata demikian selepas meneruskan lawatan kerja berkaitan sektor penternakan di Itali dengan mengunjungi Rota Guido S.R.L. di Cremona bagi meninjau teknologi, sistem pengurusan dan amalan terbaik dalam pembangunan industri kerbau tenusu moden.

Menurut beliau, antara aspek yang diberi perhatian termasuk reka bentuk ladang dan kandang, kebajikan ternakan, pemakanan, pengurusan sisa, teknologi pemerahan serta sistem pengendalian dan penyejukan susu.
“Kita juga melihat bagaimana pendekatan dan teknologi yang digunakan di Itali boleh disesuaikan dengan keadaan iklim serta keperluan operasi di Pahang termasuk dari aspek pengurusan ternakan, khidmat teknikal dan sokongan veterinar,” katanya.
Turut berlangsung majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara AGK Dairy Fresh Sdn. Bhd. dan Rota Guido S.R.L. yang memberi tumpuan kepada perolehan serta pembiakan kerbau tenusu baka Italian Mediterranean untuk dikembangkan di ladang AGK Dairy Fresh di Bukit Kajang, Raub.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan turut melibatkan aspek teknikal bagi menyokong pembangunan operasi penternakan serta proses membawa masuk kerbau terpilih dari Itali ke Malaysia, termasuk keperluan teknikal, veterinar dan eksport.
“Kerjasama ini bukan sekadar membawa masuk baka baharu ke Pahang, tetapi yang lebih penting ialah usaha membawa masuk genetik berkualiti, pengetahuan, teknologi dan pengalaman untuk membina industri kerbau tenusu yang lebih produktif, moden dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata, melalui kerjasama seperti itu, kerajaan negeri mahu melihat peningkatan produktiviti dan kualiti ternakan, pengeluaran susu yang lebih baik serta pembukaan peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.
“Inilah pendekatan yang kita mahu dalam membangunkan sektor penternakan Pahang, bukan sekadar menambah bilangan ternakan, tetapi meningkatkan nilai, produktiviti dan daya saing keseluruhan industri,” katanya. -PAHANGMEDIA

