Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 23 SEPTEMBER 2026 : Sebuah lori dengan muatan kelapa sawit disita manakala dua individu ditahan selepas dipercayai melakukan kesalahan berkaitan hasil hutan dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Tasek Bera.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, lori tersebut ditahan selepas pasukan operasi terserempak dengan kenderaan berkenaan ketika menjalankan rondaan.
“Pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan kelapa sawit dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1), Seksyen 15 dan Seksyen 81(1)(d) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
“Antara kesalahan disyaki termasuk memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran bertulis atau permit serta mengambil dan memindahkan hasil hutan dari HSK Tasek Bera tanpa kebenaran.
“Dua individu yang berada bersama lori berkenaan kemudian ditahan dan diarahkan membawa kenderaan tersebut keluar dari lokasi serbuan,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan turut mencetuskan kekecohan apabila pasukan berdepan halangan daripada penduduk setempat ketika cuba membawa keluar lori berkenaan dari lokasi.
“Pemandu lori yang ditahan telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan ketika diiring keluar dari kawasan kampung serta mematikan enjin dan menyerahkan kunci lori kepada seorang penduduk kampung yang berada di kawasan berkenaan.
“Pada masa sama, kelindan lori yang berada dalam kenderaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) turut bertindak keluar dari kenderaan tersebut.
“Tindakan kedua-dua individu berkenaan didakwa menyukarkan serta menghalang pergerakan anggota operasi ketika menjalankan tugas rasmi,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua individu yang ditahan kemudian dibawa oleh pihak polis ke IPD Bera dan satu laporan polis dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tambah beliau, lori berserta muatan sawit yang disita kemudiannya dibawa ke tapak sitaan UPNP Zon Tengah di Mentakab, Temerloh untuk tindakan lanjut.
Operasi bersepadu melibatkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perhilitan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Daerah Bera dan Pasukan Gerakan Am Batalion 7 secara 24 jam turut melibatkan kerja pemasangan pagar di beberapa pos kawalan bagi memperkemas kawalan di kawasan HSK Tasek Bera. -PAHANGMEDIA

