Oleh : Nur Saadah Artika
KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER 2026 : Seramai 20 usahawan dan vendor dari Pahang tampil mempromosikan produk halal masing-masing menerusi Pavilion Pahang di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk meneroka pasaran domestik dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, penyertaan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem industri halal selain menggalakkan lebih ramai usahawan mendapatkan pensijilan halal.
“Hari ini saya berpeluang meninjau sendiri pameran di MIHAS, khususnya Pavilion Pahang yang menampilkan 20 peniaga dan vendor dengan pelbagai produk berteraskan halal.

“Antaranya produk kosmetik, makanan retort, kopi dan pelbagai lagi. Ini merupakan satu perkara yang amat penting kerana Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk meningkatkan lagi bilangan produk, peniaga dan usahawan yang memiliki sijil halal.
“Pensijilan halal menjadi antara simbol keyakinan terhadap sesuatu produk, khususnya dalam kalangan pengguna Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pavilion Pahang sempena MIHAS 2026 di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.
Menurut beliau, perkembangan industri dan pasaran halal global menyediakan ruang besar kepada usahawan Pahang untuk mengembangkan perniagaan, termasuk meneroka peluang kerjasama dengan agensi berkaitan bagi menembusi pasaran luar negara.

“Kita berharap usahawan-usahawan Pahang dapat terus mengembangkan perniagaan dan meluaskan sayap ke luar negara dengan memanfaatkan peluang serta kerjasama bersama agensi seperti MATRADE yang membantu usahawan untuk mengeksport produk ke pasaran antarabangsa.
“Hasrat kita bukan sekadar untuk mereka berniaga di Pahang, tetapi turut berkembang ke negeri-negeri lain, Lembah Klang, Sabah dan Sarawak, seterusnya ke pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, terdapat usahawan Pahang yang telah berjaya mengembangkan pasaran ke luar negara, antaranya Durian DSR yang telah menembusi pasaran China, manakala sebahagian lagi masih dalam proses mengembangkan pasaran domestik dan antarabangsa.
“Ada usahawan yang telah meluaskan pasaran ke luar negara, contohnya Durian DSR yang sudah memasuki pasaran China, manakala ada juga yang baru mula meneroka pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kita menggalakkan semua usahawan di pelbagai peringkat pembangunan untuk menyertai inisiatif seperti ini supaya kita dapat membantu mereka meningkatkan perniagaan serta meneroka pasaran baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam atas kejayaan membawa Pavilion Pahang ke MIHAS 2026.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya rakan Exco saya, Dato’ Amizar, atas kejayaan membawa Pavilion Pahang ke MIHAS 2026,” katanya.
MIHAS 2026 berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di MITEC, Kuala Lumpur dan menjadi platform kepada pemain industri halal untuk mempamerkan produk, meneroka peluang pasaran serta menjalinkan kerjasama perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa. -PAHANGMEDIA

