BERA, 23 SEPTEMBER 2026 : Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pahang menangani isu penerokaan tanpa kebenaran membabitkan kawasan lebih 2,212 hektar di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasek Bera menerusi Operasi Tindakan Penguatkuasaan Bersepadu.
Menterinya, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan berkenaan mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan khazanah hutan negara terus dipelihara dan diurus secara mampan.
Menurut beliau, Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), manakala Tasek Bera diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994 kerana kepentingan ekologi serta kepelbagaian biologi tanah lembapnya di peringkat antarabangsa.
“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Ramsar, NRES sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap yang penting ini.
“Aktiviti di Tapak Ramsar seharusnya dilaksanakan dengan prinsip wise use yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar,” katanya dalam kenyataan medianya semalam.
Beliau berkata, sebarang aktiviti penerokaan, penebangan dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani secara berhemah serta berlandaskan peruntukan undang-undang bagi mengelakkan kesan terhadap keseimbangan ekosistem dan habitat hidupan liar.
Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang sejak September 2026 selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus dan perlindungan HSK.
“Pelaksanaan operasi ini juga mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Disember 2021 yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran di dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313,” katanya.
NRES turut menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK selaras dengan perundangan negara yang berkuat kuasa, selain terus memainkan peranan sebagai penyelaras di peringkat Persekutuan dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dilaksanakan secara berkesan, termasuk menyokong komitmen Malaysia yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.
Sehubungan itu, NRES melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan agensi berkaitan khususnya dalam penyelarasan dasar, khidmat nasihat teknikal, pemantauan serta usaha pemuliharaan kawasan hutan yang terjejas.
NRES kekal komited memastikan khazanah hutan dan biodiversiti negara terus dipelihara serta diurus secara mampan menerusi pendekatan seimbang antara penguatkuasaan undang-undang, kelestarian alam sekitar dan kepentingan komuniti setempat demi manfaat generasi masa kini dan akan datang. – PAHANGMEDIA

