Oleh : Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 23 SEPTEMBER 2026 : Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 pewakaf baharu dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kempen ‘Satu Anggota, Satu Wakaf’ yang dilaksanakan sepanjang tiga bulan terakhir tahun ini.
Inisiatif berkenaan turut menyasarkan peningkatan jumlah pembayar zakat dalam kalangan warga tentera di Pahang kepada 3,000 orang berbanding 2,150 orang atau kira-kira 25 peratus daripada 8,150 anggota tentera beragama Islam di negeri ini pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi Haji Othman berkata, usaha itu diperkukuh menerusi penganjuran Majlis Penyerahan Wakalah Zakat serta pelancaran inisiatif Wakaf Tunai khusus untuk warga tentera di negeri ini yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, hari ini.
“Program ini menghimpunkan kira-kira 300 pegawai dan anggota mewakili 31 pasukan di seluruh Pahang dalam usaha meningkatkan kesedaran menunaikan zakat serta memupuk amalan berwakaf dalam kalangan warga ATM.
“Bagi kutipan zakat pula, pada tahun lalu seramai 2,150 orang atau kira-kira 25 peratus anggota telah menunaikan kewajipan tersebut. Melalui kempen jelajah ke-31 pasukan ini, kita menyasarkan peningkatan kepada 3,000 pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membantu anggota membuat taksiran zakat yang tepat berdasarkan nisab semasa sekitar RM4,092, manakala kaedah potongan berjadual hanya memerlukan komitmen bulanan sekitar RM20 hingga RM30.
Menurut beliau, kempen berkenaan turut diserapkan menerusi pengisian geran kerohanian yang disalurkan kepada pasukan-pasukan terlibat bagi memastikan mesej dakwah berkaitan zakat dan wakaf dapat disampaikan secara berkesan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerohanian Islam ATM, Mejar Jeneral Datuk Haji Mohd Rashidi Bujai, menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Pahang yang menjadi perintis pelaksanaan program wakaf tunai bersama ATM.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan warga tentera dalam ibadah zakat dan wakaf, malah membuka ruang kepada pelaksanaan kebajikan jangka panjang untuk warga ATM.
“Wakalah zakat yang disalurkan semula oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang kepada Tabung Zakat ATM diagihkan secara telus bagi menyokong pelbagai program kebajikan, kemasyarakatan serta pengukuhan kerohanian pegawai dan anggota kita.

“Pahang telah membuka langkah awal untuk wakaf tunai ini. Insya-Allah, siri jelajah ini akan diteruskan ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Kedah bermula minggu hadapan menerusi kempen Jom Berzakat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan agar inisiatif penerangan dan penyerahan wakalah itu diperluas ke semua formasi serta kem ATM di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjelang 2030.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi Haji Hussain berkata, pelbagai inisiatif sedang dirangka bagi mengimarahkan pengisytiharan Oktober sebagai Bulan Al-Quran di peringkat Persekutuan.
Katanya, Pahang turut melantik lebih 100 tenaga pengajar mahir bagi membimbing program tadarus dan bacaan al-Quran di masjid-masjid sekitar negeri ini.
“Kita juga meneruskan pendekatan sedia ada di mana orang ramai yang menghafal di rumah boleh hadir ke masjid-masjid terpilih untuk memperbetul serta memperkukuh hafazan mereka.
“Inisiatif ini akan terus diperkemas dan diperluas, malah kita sedang merancang penganjuran program berskala lebih besar bersempena Bulan Al-Quran pada Oktober ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

