Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 22 SEPTEMBER 2026 : Program Building Opportunities through Leadership & Digital Skills (BOLD) menjadi platform penting dalam memperkasakan pelajar luar bandar dengan pengetahuan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital sebagai persediaan menghadapi perubahan dunia pendidikan serta pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, program berkenaan bukan sekadar memberi motivasi, sebaliknya menyediakan pendedahan dan kemahiran yang relevan kepada generasi muda untuk menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, perkembangan teknologi yang begitu pantas menuntut generasi hari ini supaya sentiasa meningkatkan kemahiran bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam persaingan pendidikan dan alam pekerjaan.
“Teknologi berkembang begitu pantas, kecerdasan buatan atau AI kini bukan sahaja sesuatu yang hanya kita lihat dalam filem. AI sudah berada dalam telefon kita, media sosial, dunia pendidikan dan juga alam pekerjaan.

“Ada pekerjaan yang akan berubah, ada kemahiran lama yang mungkin tidak lagi mencukupi. Namun pada masa yang sama, akan muncul begitu banyak peluang baharu,” katanya ketika merasmikan Program BOLT di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), YH Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Mohamed Said; Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita Pahang, YH Dato’ Hajah Rosni Haji Zahari; Pengetua SMK Jengka Pusat, Encik Azis Salleh serta barisan guru dan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.
Menurut YB Dato’ Hajah Sabariah, BOLD yang merupakan antara inisiatif di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang memberi penekanan terhadap kefahaman AI, kemahiran digital, kepimpinan, komunikasi serta pendedahan kepada bidang keusahawanan.
Tambahnya, Kerajaan Negeri mahu memastikan peluang mendapatkan ilmu dan kemahiran berkenaan turut dinikmati pelajar di kawasan luar bandar dan tidak hanya tertumpu kepada mereka yang berada di bandar-bandar besar.
“Kerana bakat tidak hanya lahir di bandar besar. Seorang pemimpin masa hadapan, usahawan berjaya atau pencipta teknologi boleh lahir dari mana-mana sekolah dan daripada apa-apa latar belakang.

“Mungkin juga seorang itu sedang duduk di hadapan saya pada masa ini. Insya-Allah, ibu doakan semua yang ada di depan ibu ini akan menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar supaya menggunakan teknologi dan media sosial secara berhemah, khususnya ketika menghasilkan kandungan digital atau menyebarkan sesuatu maklumat di platform berkenaan.
“Kalau kita nampak sesuatu yang diviralkan dan tidak pasti kebenarannya, tidak perlu kita sambung keviralannya. Biar ia berhenti di situ. Kita tidak tahu kesannya dan jangan sampai satu kritikan menyebabkan kita menanggung dosa,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan BOLD turut mencerminkan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan Pahang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Ujarnya, Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang merangkumi 10 kluster, termasuk kluster keusahawanan, kini sedang dikaji bagi menilai keberkesanannya selepas tempoh pelaksanaan sehingga 2026 sebelum dipertimbangkan untuk diteruskan bagi tempoh lima tahun akan datang. -PAHANGMEDIA

