Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang tiada masalah dengan masyarakat Orang Asli yang mengusahakan tanah dalam skala kecil bagi keperluan kediaman dan sumber pendapatan keluarga, sebaliknya tindakan penguatkuasaan ditumpukan terhadap penerokaan tanah secara haram berskala besar tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan kawasan Hutan Simpan Kekal, kawasan tadahan air dan taman negara terus terjejas akibat kegiatan penerokaan tanpa kebenaran.
“Memang Orang Asli ini adalah penduduk asal dan kita tidak ada masalah dengan mereka. Yang menjadi masalah ialah penceroboh-penceroboh tanah yang mengambil kesempatan kerana adanya masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Kalau kita biarkan, pertama sekali hutan simpan akan musnah dan rosak, kawasan tadahan air akan berkurangan serta taman negara juga akan menjadi tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Ijtimak Ummah Negeri Pahang dan Penyampaian Inisiatif Makmur (IM Pahang) kepada Kluster Agama di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, UNIQSAAS, Kuantan, malam tadi.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa peka terhadap kepentingan masyarakat Orang Asli termasuk memastikan keperluan asas, tempat tinggal dan sumber pendapatan mereka terus terbela.
“Tempat tanah dia nak berumah tangga, kita tidak akan kacau. Dia nak mencari rezeki seekar dua untuk tanam getah, tanam sawit untuk dia dan keluarga, kita tidak ganggu.
“Sebab itu apabila saya pergi berjumpa dengan masyarakat Orang Asli, saya minta senarai nama mereka yang betul-betul tinggal di situ dan lot tanah mereka. Ini supaya kita dapat bantu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penceroboh yang kehilangan sumber pendapatan akibat tindakan penguatkuasaan mungkin cuba membentuk persepsi seolah-olah kerajaan negeri menzalimi masyarakat Orang Asli.
“Yang menceroboh tanah itu, yang seluas itu dia mesti rasa tak seronok sebab selama ini dia dah buat ribu hektar, dia dapat pendapatan. Tapi bila pihak kerajaan ambil tindakan, dia mesti terasa terhimpit. Di situ dia akan buatlah satu gerakan bagaimana untuk menampakkan kepada orang ramai yang kononnya kerajaan negeri menzalimi Orang Asli,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli, malah pelbagai usaha dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan komuniti berkenaan.
“Masyarakat Orang Asli ini kita tatang macam minyak panas, kita jaga. Yang sekolah kita beri bantuan, yang nak masuk universiti kita bantu, yang tidak ada rumah kita betulkan rumah dan yang langsung tidak ada tempat tinggal kita bina rumah.
“Kalau kampung jauh, kita bina sekolah. Nak masjid, kita buat masjid. Nak balai raya, kita bina balai raya dan nak jalan, kita buat jalan,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli dapat dilihat menerusi pelbagai projek infrastruktur yang sedang dan telah dilaksanakan.
“Pendek katanya, cerita tak dapat kita hitungkan tentang usaha kerajaan memajukan masyarakat Orang Asli dan menjaga nasib masyarakat Orang Asli,” katanya. -PAHANGMEDIA

