Oleh: Norhafizan Zulkifli
ROMPIN, 13 SEPTEMBER 2026 : Kuala Rompin sekali lagi menjadi tumpuan komuniti pemancing antarabangsa apabila seramai 72 peserta daripada 18 pasukan mewakili sembilan negara berentap dalam Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM76,000.
Sembilan negara berkenaan ialah Itali, Jepun, China, Singapura, Australia, United Kingdom, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Malaysia selaku tuan rumah.
Lebih menarik, edisi ke-22 kejohanan berprestij itu tampil dengan acara baharu iaitu Kayak Fishing Challenge sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan aksi pertandingan secara lebih dekat dari persisiran pantai.

Pengurus Besar Tourism Pahang, YH. Puan Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, penambahan acara tersebut merupakan antara pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
“Uniknya tahun ini kita menambah satu lagi acara iaitu Kayak Fishing Challenge. Acara ini ditambah bagi membolehkan pengunjung melihat acara yang dipertandingkan di persisiran pantai memandangkan acara utamanya berlangsung di tengah laut.
“Bagi tahun ini kita menerima 30 penyertaan bagi Kayak Fishing Challenge dengan penyertaan dari seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Peserta Royal Pahang Billfish International Challenge 2026 di Jeti Awam Pantai Bernas, Kuala Rompin, di sini semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, YH. Tuan Haji Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, YH. Tuan Ir. Arman Mokhtar serta ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
RPBIC 2026 berlangsung dari 11 hingga 13 September ini dan terus mengekalkan konsep pertandingan memancing secara tangkap dan lepas (catch and release), membabitkan spesies ikan billfish ikonik seperti ikan layaran dan marlin.
Menurut YH. Puan Nor Zahira, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan pemancing profesional dan amatur dari seluruh dunia, malah terus memperkukuh kedudukan Kuala Rompin sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa.
Kejohanan anjuran Tourism Pahang dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) itu turut menawarkan peluang kepada pasukan juara untuk melayakkan diri menyertai Offshore World Championship (OWC) di Costa Rica.
OWC merupakan antara pentas paling berprestij dalam kalangan komuniti pemancing billfish dunia.
RPBIC 2026 turut mendapat tajaan utama daripada X-Zoga, TCE Tackles, Lemax, EU Pro International, Gawas, Expert Graphite dan DPM Studios, selain sokongan rakan strategik termasuk Villea Rompin Resort & Golf serta Persatuan Memancing dan Bot Kuala Rompin Pahang, Malaysia. -PAHANGMEDIA

