KUANTAN, 12 SEPTEMBER 2026: Selepas hampir tiga bulan berlangsung, Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bakal melabuhkan tirainya menerusi aksi perlawanan akhir dan Majlis Penutupan Kejohanan di Stadium Darul Makmur, esok.
Kejohanan yang bermula sejak Jun lalu itu menghimpunkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang, sekali gus menjadi platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 13 September 2026 (Ahad) itu bakal menentukan juara sulung yang akan membawa pulang Piala Al-Sultan Abdullah.
Majlis penutupan dijadual bermula pada jam 4 petang dan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti serta pengisian hiburan untuk pengunjung yang hadir.
Antara tarikan utama ialah persembahan khas barisan artis dan pemuzik tanah air termasuk Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid Gitaris Search dan Arghpiez.

Selain itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah turut disediakan sebagai penghargaan kepada peminat serta komuniti bola sepak Pahang yang memberikan sokongan sepanjang kejohanan.
Hadiah berkenaan termasuk sebuah kereta Proton Saga sebagai hadiah utama, dua buah motosikal, tiga buah telefon bimbit dan 200 biji bola.
Penganjuran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bukan sahaja memberi ruang kepada pemain tempatan mengetengahkan bakat dan potensi masing-masing, malah menjadi medium memperkukuh hubungan komuniti menerusi sukan.

Kejohanan itu turut dilihat mampu membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya menerusi kehadiran pemain, penyokong dan pengunjung ke daerah yang terlibat sepanjang saingan berlangsung.
Orang ramai khususnya rakyat Pahang, komuniti bola sepak dan peminat sukan dari seluruh negara dijemput hadir ke Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan aksi kemuncak kejohanan itu.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan detik bersejarah penentuan juara sulung Piala Al-Sultan Abdullah.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads menerusi @ligapahangfirst. – PAHANGMEDIA

