Oleh: Ahmad Fansuri Bin Mohamad Nasir
KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER 2026 : Cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu diperhalusi secara menyeluruh supaya sebarang perubahan tidak menjejaskan sistem pentadbiran, kewangan serta tatakelola institusi pengajian tinggi.
Wakil Kelab UMNO Luar Negara Cawangan Birmingham/Warwick, United Kingdom, Engku Tan Ariffudean Che Wan Muhamad Fadli berkata, AUKU bukan hanya berkaitan kebebasan mahasiswa untuk berpolitik atau bersuara, sebaliknya turut menjadi kerangka kepada pentadbiran institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, perbahasan mengenai AUKU sebelum ini banyak berkisar mengenai ruang mahasiswa menyertai aktiviti politik, berhimpun serta menyuarakan pandangan.
“Selepas beberapa pindaan dibuat, mahasiswa sudah diberikan ruang untuk berhimpun, berpolitik dan bersuara.
“Jadi apabila timbul pula cadangan untuk memansuhkan AUKU, kita perlu melihat apakah kesannya kepada keseluruhan pentadbiran institusi pengajian tinggi,” katanya ketika memberikan pandangan berhubung usul melibatkan mahasiswa dan pendidikan tinggi.
Beliau berkata, sekiranya AUKU mahu digantikan dengan undang-undang baharu, proses itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan struktur pengurusan universiti, urusan kewangan serta hal ehwal pelajar.
Menurut Engku Tan, satu kerangka yang jelas tetap diperlukan bagi memastikan autonomi yang diberikan kepada mahasiswa berjalan seiring dengan tadbir urus institusi yang tersusun.
“Dasar ini bukan macam kita buat nasi lemak, bungkus dan siap. Ia memerlukan masa dan penelitian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengetengahkan cadangan Program Bahagian Angkat bagi memperkukuh hubungan antara kepimpinan UMNO di tanah air dengan mahasiswa Malaysia di luar negara.
Katanya, menerusi pendekatan itu, bahagian-bahagian UMNO boleh menjalinkan hubungan dengan cawangan Kelab UMNO Luar Negara bagi membantu mahasiswa dalam aspek kepimpinan, pembangunan bakat serta kebolehpasaran pekerjaan.
Beliau menjelaskan pendekatan tersebut bukan bertujuan mewujudkan budaya patronage, kabel atau kronisme, sebaliknya memanfaatkan jaringan serta hubungan yang dimiliki pemimpin untuk membuka lebih banyak ruang pembangunan kepada mahasiswa.
Menurutnya, ramai pelajar Malaysia di luar negara memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara sekiranya diberikan ruang dan jaringan yang sesuai.
“Kita mempunyai kepakaran, tetapi di Malaysia kita masih sedikit ketinggalan berbanding negara maju kerana kita belum mempunyai teknologi yang benar-benar selari dengan kepakaran yang ada,” katanya.
Engku Tan berkata, justeru cadangan Bahagian Angkat itu boleh menjadi jambatan untuk menghubungkan kepakaran mahasiswa Malaysia di luar negara dengan peluang, teknologi, industri serta jaringan kepimpinan di dalam negara.
Beliau percaya pendekatan itu bukan sahaja mampu membantu mahasiswa dari sudut kepimpinan dan kebolehpasaran, malah dapat memastikan ilmu serta kepakaran yang diperoleh di luar negara dapat disumbangkan semula kepada pembangunan Malaysia. – PAHANGMEDIA

