KUANTAN, 24 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengalu-alukan pandangan, cadangan dan idea daripada seluruh rakyat negeri ini bagi membantu kerajaan merangka Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2027 yang lebih bersasar, berimpak dan memenuhi keperluan semasa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan negeri dengan memastikan setiap dasar, perancangan dan peruntukan yang dirangka memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara berterusan.
Katanya, berteraskan aspirasi Pahang 1st, keutamaan akan diberikan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya saing ekonomi, memperkasa modal insan serta memastikan pembangunan dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur melalui pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi sejauh mana hasil dan manfaat daripada kemajuan tersebut dapat dirasai oleh rakyat.
“Justeru, Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2027 akan dirangka dengan mengambil kira keperluan semasa, cabaran yang dihadapi serta aspirasi rakyat di seluruh negeri, selaras dengan prinsip Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan,” katanya.
Beliau berkata, keterlibatan rakyat amat penting bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat benar-benar bersasar dan memberikan nilai tambah kepada kehidupan rakyat.
Sehubungan itu, seluruh rakyat Pahang diseru untuk bersama-sama menyumbang pandangan dan cadangan menerusi Soal Selidik Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2027 melalui pautan berikut:
Soal Selidik Belanjawan Negeri Pahang Darul Makmur 2027. -PAHANGMEDIA

