Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 24 OGOS 2026 : Kontinjen Pahang menutup tirai persaingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila mengutip 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa, sekali gus mencatat peningkatan ketara berbanding temasya dua tahun lalu di Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, pencapaian itu menyaksikan Pahang menambah lima pingat emas berbanding 23 emas yang diraih pada SUKMA Sarawak.
Menurutnya, kejayaan tersebut turut dipacu prestasi cemerlang kontinjen dalam acara menembak yang muncul juara keseluruhan dengan kutipan 14 emas, tujuh perak dan lima gangsa.
“Pencapaian yang jauh lebih baik daripada SUKMA dua tahun lalu di Sarawak. Ketika itu Pahang mencapai 23 pingat emas, jadi ada tambahan lima pingat emas,” katanya ketika mengulas pencapaian kontinjen Pahang pada SUKMA XXII Selangor 2026.
YB. Dato’ Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar atas komitmen serta gerak kerja bersepadu yang menjadi antara faktor kejayaan kontinjen negeri itu.
Katanya, hubungan baik antara kepimpinan kontinjen, atlet dan jurulatih turut membantu mewujudkan suasana yang lebih positif serta menyumbang kepada peningkatan prestasi atlet.
“Saya gembira sebab CDM dan pengarah ada hubungan yang baik dengan atlet dan juga jurulatih, jadi ini yang memungkinkan pencapaian yang lebih baik bagi Pahang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa acara sukan turut mencatatkan rekod baharu, namun prestasi bagi sesetengah sukan masih perlu ditambah baik bagi memastikan Pahang terus kompetitif pada temasya akan datang.
Sehubungan itu, katanya, satu postmortem secara menyeluruh akan dilaksanakan selepas tamat SUKMA XXII dengan CDM diminta menerajui proses berkenaan bersama persatuan sukan, atlet dan jurulatih.
“Selepas ini kita akan buat postmortem. Saya minta YB CDM untuk mengetuai postmortem ini bersama persatuan-persatuan sukan, atlet dan jurulatih supaya kita dapat menambah baik serta membina perancangan untuk masa depan, khususnya bagi SUKMA yang akan datang,” katanya.
Beliau juga berkata, MSP turut akan mendapatkan pandangan dan laporan daripada Fakulti Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam susulan kerjasama yang dilaksanakan sepanjang persiapan menghadapi SUKMA XXII.
Tambahnya, kerjasama berkenaan memberikan nilai tambah kepada pembangunan prestasi sukan negeri kerana Pahang bukan sahaja bergantung kepada penilaian dalaman, malah memperoleh pandangan pihak ketiga yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan.
“Kita dapat pandangan, idea dan nasihat yang sebelum ini tidak kita perolehi. Kita tidak mahu syok sendiri. Ada pihak ketiga yang menasihat dan memberikan pandangan.
“Saya bersama YB CDM dan pengarah bersetuju untuk meneruskan kerjasama antara Majlis Sukan Pahang dan Fakulti Sukan UiTM Shah Alam,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

