Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 24 OGOS 2026 : Penganjuran sesi Town Hall menerusi Program Sentuhan Rakyat Makmur menerima maklum balas positif daripada masyarakat setempat di Daerah Rompin.
Menurut Pengerusi JPKK Selendang, Encik Adnan Muhammad, 39, menyifatkan pelaksanaan Program Sentuhan Rakyat Makmur sebagai satu inisiatif yang baik dalam memberi ruang kepada rakyat menyuarakan keluhan, masalah dan keperluan mereka secara terus kepada pihak kerajaan.

“Saya puas hati dan saya rasa Sentuhan Rakyat Makmur ini bagus untuk tahu keluhan daripada rakyat, masalah dan keperluan. Jadi saya rasa program ini perlu diteruskan lagi.
“Saya rasa benda (town hall) ini yang rasa lebih bagus sebab kadang-kadang bila pergi ke pejabat ataupun jumpa dengan pegawai-pegawai kita tidak dapat jumpa. Jadi, hari ini peluang untuk rakyat bersemuka untuk bertukar pendapat,” katanya.

Manakala bagi Puan Masitah Mohd Azmi, 39, program tersebut dianggap sebagai satu platform yang amat baik kerana memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi dan mendapatkan jawapan secara terus daripada YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
“Bagi saya program ini sangat okay. Inilah satu-satunya peluang untuk rakyat bersoal jawab secara terus dengan YB. Setiausaha Kerajaan Pahang (Dato’ Sri Nazri Abu Bakar) sendiri. Jadi apa-apa yang terbuku, pemohonan yang belum diluluskan boleh tuju terus dan dapat jawapan terus.
” (Program) ini sangat baik dan perlu diteruskan dari masa ke semasa dan sebagai rakyat kota rasa bebesar hati kerana mereka turun padang dan mendengar sendiri. Saya berpuas hati sangat,” katanya. -PAHANGMEDIA

