Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 20 OGOS 2026 : Kerja-kerja pembaikan dan naik taraf Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) bernilai RM2.1 bilion dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2030.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, projek yang mengambil tempoh kira-kira empat tahun itu melibatkan penambahan lorong bagi meningkatkan kapasiti serta kelancaran trafik di laluan utama menghubungkan Kuala Lumpur dan Pahang.
Beliau berkata menerusi projek berkenaan, laluan dari Gombak hingga Genting Sempah akan dinaik taraf daripada tiga kepada empat lorong sehala, manakala laluan selepas Genting Sempah hingga Plaza Tol Bentong akan ditambah daripada dua kepada tiga lorong sehala.
“Kerja-kerja pembaikan Lebuhraya KL-Karak telah bermula Mac tahun ini, dan projek ini jangka masanya empat tahun sehingga tahun 2030 siap.
“Projek berharga RM2.1 bilion di mana penambahan lorong daripada Gombak sampai ke Genting Sempah itu daripada tiga lorong yang ada sekarang kepada empat lorong sehala. Maknanya empat lorong pergi, empat lorong balik.
“Dan daripada selepas Genting Sempah sampai ke Plaza Tol Bentong ini daripada dua lorong kepada tiga lorong,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan terowong yang menjadi antara komponen utama dalam projek naik taraf Lebuhraya KL-Karak turut dimulakan dengan kerja tebuk tanah yang dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun.
“Dan kerja-kerja tadi kita pecah tanah untuk terowong tebuk tanah dan kerja untuk tanah sahaja dia mengambil masa lebih kurang dalam dua tahun. Yang panjang dia 999 meter,” katanya.
Mengulas mengenai kemalangan maut di jalan Bera-Temerloh yang meragut nyawa dua beranak baru-baru ini, beliau berkata Kerajaan negeri akan meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti faktor keselamatan laluan berkenaan termasuk keadaan selekoh dan permukaan jalan.
“Itu sebenarnya kita tengok punca kemalangan itu. Adakah kerana jalan itu selekoh berbahaya ataupun kerana kecuaian pemandu? Kita tengok faktor itu dulu dan benda itu kalau katakan selekoh itu, maknanya bahagian reka bentuk JKR akan siasat dululah.
“Mungkin kalau kalau faktor memerlukan tambahan signage apa, kita boleh buat. Nanti pihak JKR tengoklah. Tak semestinya kena luruskan. Boleh tambahkan signage-signage untuk kita remind pemandu supaya lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perubatan Hospital Bera, di Hospital Bera hari ini. -PAHANGMEDIA

