Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Azian Ali | Media MSP
SELANGOR, 20 OGOS 2026 : Atlet angkat berat Pahang, Muhammad Farris Haikal Kamarul, 20, membuktikan keunggulannya apabila berjaya mengulangi kejuaraan pada edisi lalu dengan memperoleh pingat emas kategori lebih 110 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 kali ini.
Farris Haikal tampil dalam kelas tersendiri apabila meninggalkan pencabar terdekat dengan jurang 31kg selepas melakukan angkatan keseluruhan 305kg dalam acara yang berlangsung di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kelana Jaya (MPKJ), di sini hari ini.
Atlet kebangsaan itu mencatat 135kg bagi acara snatch sebelum melengkapkan angkatan 170kg dalam clean and jerk untuk mengungguli saingan.
Pingat perak menjadi milik atlet Johor, Isaac Masne dengan keseluruhan 274kg menerusi 112kg snatch dan 162kg clean and jerk, manakala wakil Terengganu, Muhammad Al Iqram Hamizan Rostan meraih gangsa dengan 273kg hasil angkatan 120kg snatch dan 153kg clean and jerk.

“Saya sangat bersyukur dan bangga kerana berjaya mengekalkan kejuaraan dan membawa pulang pingat emas untuk kali kedua berturut-turut.
“Pencapaian ini memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya kepada Pahang Media, hari ini.
Menurutnya, kecederaan menjadi antara cabaran utama sepanjang persiapan, namun beliau tetap berusaha meneruskan latihan serta menjaga prestasi bagi memastikan dapat memberikan aksi terbaik di pentas SUKMA.
“Walaupun mengalami kecederaan, saya cuba untuk terus berlatih dan menjaga prestasi supaya dapat memberikan yang terbaik ketika pertandingan,” ujarnya.
Farris Haikal turut mendedikasikan kejayaan itu kepada negeri Pahang, jurulatih serta keluarga yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan sebagai atlet.

“Pingat emas ini saya tujukan khas kepada negeri Pahang, ‘coach’ yang banyak membantu dan membimbing saya, serta keluarga saya yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat,” katanya lagi.
Selepas mengukuhkan kedudukannya di pentas SUKMA, Farris Haikal kini mengintai cabaran lebih besar apabila menyasarkan pingat emas pada temasya SEA Games tahun depan.
“Sasaran saya untuk masa akan datang adalah untuk mendapatkan pingat emas di SEA Games tahun depan.
“Saya akan berusaha lebih keras dan membuat persiapan yang lebih baik untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Kejayaan Farris Haikal sekali gus menjadi suntikan semangat buat kontinjen Pahang untuk terus memburu kejayaan dan menambah koleksi pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026. -PAHANGMEDIA

