Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 19 OGOS 2026 : Selepas hampir 20 tahun bertahan, rekod acara 25 Meter Pistol Women Team akhirnya dipecahkan apabila trio penembak Pahang mencatat 1,685 mata pada saingan SUKMA XXI di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, hari ini.
Lebih istimewa, rekod baharu itu turut memadam rekod lama yang dicipta oleh pasukan Pahang sendiri pada 2006, sekali gus menyaksikan generasi baharu skuad menembak negeri itu berjaya menewaskan pencapaian ‘senior’ mereka selepas hampir dua dekad.
Kejayaan tersebut diraih Damia Hani Mohamad Sakran, Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli dan Wan Nur Afiqah Wan Mohd Haneef yang mengumpul keseluruhan 1,685 mata untuk meraih emas, diikuti Selangor dengan 1,608 mata dan Terengganu 1,549 mata.

Khadeeja berkata mereka tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod berkenaan, sebaliknya hanya mahu memastikan ketiga-tiga atlet memberikan keputusan terbaik dalam pertandingan.
“‘Break record’, tak ‘expect’, tapi kita ‘expect’ ‘result’ daripada kami bertiga itu.. ‘expect’ lah untuk certain ‘result’ itu, tapi untuk ‘break record’ itu… tak ‘expect’. Sebab dah dekat 20 tahun dah kami dah cuba, cuba dan cuba, memang tak dapat,”katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Menurutnya, kejayaan itu amat bermakna kerana rekod tersebut sudah lama menjadi sasaran pasukan menembak Pahang, namun berkali-kali percubaan sebelum ini belum membuahkan hasil.
“Happy, happy sangat. Syukur sangat. Memang tak ‘expect’, ‘unexpected’,” katanya yang sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam sukan menembak.
Lebih manis, kejayaan memecahkan rekod itu hadir dalam penampilan terakhir Khadeeja di pentas SUKMA, menjadikannya antara kenangan paling manis sepanjang kariernya mewakili Pahang.
“Kenangan paling manis dan juga ‘last’ SUKMA saya. Ini dah ‘last’ dah SUKMA saya,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, pasukan menembak Pahang menyumbang lima lagi emas kepada kontinjen negeri hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pingat emas yang disumbangkan pasukan berkenaan setakat ini sebanyak 10 emas.
Khadeeja berkata pencapaian itu sudah melepasi sasaran sembilan emas yang ditetapkan Majlis Sukan Pahang, manakala pasukan menembak sendiri menyasarkan 15 emas.
“Jadi untuk pertandingan yang akan datang, kita jangka dan juga haraplah lagi banyak emas. Dan semoga Pahang (pasukan menembak) kekal jadi juara untuk semua SUKMA yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, skuad menembak Pahang turut mencipta satu lagi rekod apabila Cheah Zen Hong memecahkan rekod acara 10 Meter Air Pistol Men Individu yang telah ditetapkan pasa tahun 2022 dengan catatan 236.8 mata untuk meraih emas.
Rakan senegeri, Ahmad Danial Hakim Abdul Razak pula meraih perak dengan 234.6 mata, manakala atlet Sarawak menduduki tempat ketiga dengan 213.3 mata.
Cheah berkata kejayaan memecahkan rekod itu hadir selepas beliau bermula dengan rasa debar dan kedudukan yang kurang memberangsangkan sebelum kembali mendapatkan momentum pada penghujung saingan.
“Tapi ‘towards’ belakang ‘final’ itu, saya mula dapat momentum balik, dah dapat fokus balik, dan saya ‘fight’ sampai habis, sampai ‘last shot’, dan saya pun tak sangka yang saya boleh pecah rekod lagi. Jadi ia sesuatu yang agak luar biasa lah bagi saya hari ini,” katanya.
Emas berkenaan merupakan pingat emas kelima Cheah pada SUKMA kali ini, dengan tiga lagi acara masih menanti iaitu 25 Meter Standard Pistol, Sport Pistol dan 10 Meter Mixed Team.-PAHANGMEDIA

