Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 19 OGOS 2026 : Dua atlet terjun muda Pahang, Nur Aisy’ Innara Mohd Amir Hafiz, 13, dan Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam, 12, mencetuskan kejutan apabila meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada penampilan sulung mereka di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Pasangan itu mengumpul 215.94 mata untuk menamatkan saingan di tempat ketiga daripada enam pasangan yang bertanding pada aksi final di Pusat Akuatik Selangor, di sini hari ini.

Emas menjadi milik Sarawak dengan 259.74 mata, manakala Perak meraih perak dengan 216.18 mata.
Bagi Nur Aisy’ Innara, kejayaan tersebut cukup bermakna kerana ia merupakan pingat pertama diraihnya dalam penampilan sulung di temasya SUKMA.
“Saya sangat bangga dapat ‘first medal’ untuk SUKMA. Terima kasih kepada ibu bapa saya, coach (jurulatih), dan family (keluarga) kerana doa untuk SUKMA ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Atlet kelahiran 2013 itu bagaimanapun tidak mahu berhenti setakat pingat gangsa, sebaliknya menyasarkan untuk memberikan saingan lebih baik dalam tiga lagi acara yang bakal disertainya.
“Saya ada lagi tiga event (acara). Saya nak target silver (perak) atau bronze (gangsa). Saya, acara satu meter individu dan tiga meter individu dan syncro (seirama) tiga meter,” ujarnya.
Sementara itu, gandingan Aisy’ Innara, Noor Qaisara Dayana, yang dilahirkan pada 2014, turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat untuk menghadapi baki saingan.

Noor Qaisara Dayana berkata, dia masih mempunyai dua lagi acara yang akan disertai, kedua-duanya membabitkan acara platform.
“(Acara) platform. Terima kasih untuk keluarga kerana sudah mendoakan kami,” katanya.
Kejayaan kedua-dua atlet muda itu sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen Pahang pada SUKMA XXII, selain membuktikan potensi besar pelapis negeri dalam sukan terjun.
Dengan usia yang masih muda dan pengalaman pertama di pentas SUKMA, Nur Aisy’ Innara dan Nur Qaisara Dayana kini mempunyai peluang untuk terus mengukuhkan nama dalam arena terjun negara menerusi baki acara yang bakal dipertandingkan. -PAHANGMEDIA

