KUANTAN, 19 OGOS 2026: Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan statistik Miskin Tegar apabila kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan dalam lock figure pada 15 Januari 2026 berjaya dikeluarkan daripada status tersebut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi berkaitan, di samping perubahan pendapatan dan saiz isi rumah.
Lebih membanggakan, katanya, Pahang turut berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus, apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus Miskin pada 5 Jun 2026 berjaya dikeluarkan daripada kelompok berkenaan.
“Pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan telah selesai. Sebaliknya, ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan kerana data dalam Sistem eKasih bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut keadaan sosioekonomi sesebuah isi rumah.
“Perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan, pertambahan atau pengurangan ahli isi rumah, termasuk anak-anak KIR yang berpindah keluar kerana berkahwin atau mendapatkan pekerjaan, boleh mempengaruhi status sesebuah keluarga,” katanya.
Menurut beliau, kategori Miskin Tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM372 sebulan di bandar dan RM345 di luar bandar, manakala kategori Miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar.
Katanya, penentuan status tersebut adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Kementerian Ekonomi.
“Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah penyampaian pelbagai bentuk bantuan, inisiatif serta intervensi bersasar oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan, di samping perubahan pendapatan dan saiz isi rumah.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap keluarga yang masih berada dalam kategori Miskin dan Miskin Tegar dalam senarai eKasih terus dibantu mengikut keperluan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, matlamat Kerajaan Negeri bukan sekadar mengeluarkan rakyat daripada status kemiskinan, tetapi memastikan mereka mampu berdikari, mempunyai sumber pendapatan yang lebih kukuh serta menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pendekatan Memangkas Kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

