Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 19 OGOS 2026 : Pendekatan secara praktikal dan pembelajaran berasaskan pengalaman menerusi pertandingan dalam Malaysia Techlympics mampu meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, kaedah pembelajaran sedemikian menjadikan ilmu STI lebih menarik, interaktif dan dekat dengan kehidupan seharian pelajar.

“Pembudayaan STI dan STEM tidak seharusnya terhad kepada bilik darjah sahaja. Program yang bersifat amali, praktikal dan interaktif perlu terus diperluaskan agar ilmu dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih menarik dan praktikal,”
“Selaras dengan prinsip keterangkuman, saya difahamkan juga Malaysia Techlympics turut melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman iaitu pembudayaan STI/STEM bagi memastikan akses kepada pendidikan STI/STEM dapat diperluas khususnya di kawasan luar bandar.
“Sehingga kini, kira-kira 3,481 pelajar dari negeri Pahang dan Terengganu telah terlibat dalam program ini melalui pelbagai bentuk latihan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan pengalaman bukan sahaja meningkatkan kefahaman, malah mampu membentuk minda kreatif dan inovatif serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.
“Secara umumnya, pihak-pihak berkepentingan dalam membudayakan STI/STEM sentiasa berpegang teguh bahawa pelaksanaan
pembudayaan STI/STEM tidak seharusnya terhad kepada bilik darjah!sahaja.
“Justeru, program seperti Malaysia Techlympics yang bersifat amali dan interaktif perlu terus diperluas agar ilmu STI dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih menarik dan praktikal.
“Kaedah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman pelajar, bahkan turut memperlihatkan bagaimana STI boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta membentuk minda yang kreatif dan inovatif,” katanya.
Program Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur 1.0 yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kali ini telah berjaya menghimpunkan lebih 1,150 peserta daripada 111 sekolah dan institusi pengajian tinggi dari Pahang dan Terengganu. -PAHANGMEDIA

