Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Seluruh rakyat negeri ini diseru untuk mengambil peluang menyertai Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) bagi memastikan setiap perancangan pembangunan yang dirangka benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program tersebut memberi ruang kepada masyarakat untuk meneliti cadangan pembangunan negeri sebelum mengemukakan pandangan, cadangan atau penambahbaikan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, setiap maklum balas yang diterima akan diteliti oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) serta pejabat daerah sebelum dipertimbangkan dalam penyediaan Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pahang 2040.

“Ini adalah satu program di mana kita minta rakyat Pahang, mereka boleh melibatkan diri dengan mengambil berat ataupun mengambil tahu apa yang kita buat di Negeri Pahang ini.
Dan sekiranya ada apa-apa pandangan mereka boleh memberi pandangan dan kita akan kaji dan teliti pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) dan Majlis Penyerahan Laporan Pelan Indikatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang di Swiss-Belhotel Kuantan, di sini hari ini.

Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa PLANMalaysia, YBhg. Datuk TPr Dr. Alias Rameli; Pengarah PLANMalaysia Pahang, YH Dato’ TPr Hajah Nik Noraisu Nik Ibrahim dan barisan ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Hahi Wan Rosdy dalam masa sama turut merakamkan penghargaan kepada PLANMalaysia atas kerjasama serta penyediaan peruntukan bagi menjayakan program berkenaan, selain sumbangan daripada Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan RSN Pahang 2040 akan terus bersifat dinamik dan boleh disesuaikan mengikut keperluan pembangunan semasa.

Katanya, setakat ini terdapat 51 projek pembangunan strategik yang dikenal pasti di seluruh negeri melibatkan pelbagai sektor termasuk pengangkutan, logistik dan infrastruktur di mana jumlahnya berkemungkinan akan bertambah mengikut keperluan semasa.
“Dia bukan statik, tengoklah kepada keperluan. Bila ada keperluan kita akan mohon dengan Kerajaan Persekutuan. Ianya ‘endless process’. Ia tidak akan habis di situ sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, tempoh publisiti dan penyertaan awam Draf RSN Pahang 2040 (Kajian Semula) berlangsung selama sebulan bermula 3 Ogos hingga 2 September 2026 dan akan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai mengakses dokumen berkenaan serta mengemukakan pandangan, cadangan atau bantahan secara rasmi. -PAHANGMEDIA

