Oleh : Ain Nadhirah Basha & Zeti Akhtar Lokman
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperketat pemantauan terhadap infrastruktur telekomunikasi dengan mewajibkan syarikat penyedia mengemukakan laporan bergambar keadaan menara dan kemudahan komunikasi sebelum lesen diperbaharui oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata langkah berkenaan dilaksanakan susulan kes vandalisme dan kecurian infrastruktur telekomunikasi di negeri ini yang masih membimbangkan, dengan nilai kerugian direkodkan melebihi RM3 juta sepanjang tahun lalu.
“Tapi saya gembira hari ini bila Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, YH Dato’ Khairun Nissa Aris maklum bahawa untuk mereka nak renew license sekarang melibatkan infrastruktur telekomunikasi, syarikat-syarikat ini kena sediakan laporan bergambar keadaan infrastruktur komunikasi mereka.
“Contohnya kalau menara telekomunikasi ini, kena tunjuklah pagarnya berkunci, kemudahan itu diselenggara, dan selepas itu baru PBT misalnya berpuas hati. Atau mereka kalau tak puas hati, mereka akan turun ke lokasi tersebut untuk sebelum mereka boleh perbaharui lesen.
“Jadi ini satu tindakan proaktif untuk kita pastikan selain isu vandalisme, syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dan juga syarikat infrastruktur komunikasi ini juga melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata isu vandalisme serta kecurian infrastruktur dan peralatan komunikasi di negeri ini juga turut menyebabkan berlaku gangguan sehingga menjejaskan penduduk di kawasan terlibat.
“Saya ucap syabas dan tahniah kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) Pahang khususnya kerana menganjurkan kempen cegah vandalisme ini yang saya kira sangat bertepatan kerana ketika ini isu vandalisme termasuk kecurian infrastruktur atau peralatan komunikasi di Negeri Pahang ini masih lagi tinggi.
“Jadi, kadang-kadang bila kecurian berlaku, nak menggantikannya mengambil masa. Tengok apa peralatan atau perkakas yang dicuri. Kalau kabel mungkin cepat sikit kita nak baiki, kadang-kadang ada peralatan-peralatan lain yang memang ambil masa untuk diselesaikan oleh MCMC.
“Jadi, akan berlaku gangguan di kawasan-kawasan tertentu yang kena isu vandalisme ini dan akhirnya membeban, menjejaskan urusan harian rakyat itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, walaupun tiada kawasan panas khusus dikenal pasti, namun kegiatan jenayah itu berlaku secara berselerak dengan suspek dipercayai bergerak dari satu menara ke satu menara bagi mencuri kabel dan komponen telekomunikasi yang mempunyai nilai di pasaran gelap.
Dalam pada itu, beliau berkata kempen anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang yang melibatkan penghulu, pemimpin masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Telekom Malaysia (TM) serta syarikat penyedia perkhidmatan diharap mampu memperkukuhkan kerjasama sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa bagi membendung vandalisme di seluruh negeri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Pahang 2026 di UCYP Tanjung Lumpur. -PAHANGMEDIA

