Oleh : Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya merampas 1,050 kotak rokok putih pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM17,000 dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Kuantan, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab berkata, rampasan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari selepas kapal nelayan tempatan tersebut dipintas ketika menuju ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan dalam Op Makmur dan Op Tiris.
“Vesel berkenaan dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika barat daya Kuala Kuantan untuk tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh 18 kru, terdiri daripada seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta 15 kru warga Kemboja, berusia antara 26 hingga 61 tahun,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati kapal berkenaan disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua kru bersama vesel dan barang rampasan telah diiring ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan, perikanan haram serta sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya. -PAHANGMEDIA

